Pekerja feri hilang tiga hari ditemui lemas
KINABATANGAN - Pekerja feri yang hilang sejak tiga hari lalu ditemukan lemas di sungai di kawasan berhampiran estet di sini pada Selasa.
Antonius Permisi, 45, ditemukan sejauh kira-kira 100 meter dari jarak dia dilaporkan jatuh dari feri ketika menyeberang sungai tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah memasuki hari ketiga.
Katanya, operasi SAR dimulakan pada jam 6.30 pagi melibatkan lima anggotanya dan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sandakan bersama agensi lain serta penduduk kampung.
"Operasi dilakukan dengan menelusuri sungai tersebut dan menggunakan kaedah di permukaan atas air.
"Selepas empat jam kemudian, mayat mangsa akhirnya ditemukan tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, mayat mangsa dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Isnin melaporkan mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menyeberang sungai tersebut dengan menggunakan feri.
Ketika kejadian, feri tersebut membawa kenderaan jenis lori yang membawa muatan baja dipercayai untuk dihantar ke kawasan estet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!