[VIDEO] Ladang ayam disyaki punca pencemaran laut

A
A
A

PORT DICKSON - Air longkang berwarna hitam dengan lalat berterbangan selain terdapat ulat sampah dalam parit.

Itu antara keadaan yang dapat dilihat di sebuah ladang ternakan ayam berkeluasan 2.02 hektar di Bukit Pelandok di sini disyaki menyebabkan pencemaran laut berhampiran.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, berikutan itu satu pemeriksaan dan siasatan telah dijalankan di lokasi oleh agensi bertanggungjawab pada pagi Selasa selepas menerima aduan orang awam susulan pencemaran itu yang di syaki daripada najis haiwan.

Veerapan menunjukkan keadaan air parit di lokasi.
Veerapan menunjukkan keadaan air parit di lokasi.

"Hasil daripada siasatan tersebut mendapati terdapat ladang penternakan ayam daging yang beroperasi dengan kapasiti ayam sebanyak 30,000 ayam dan telah beroperasi lebih kurang 20 tahun.

"Air longkang di kawasan reban tersebut disalurkan ke parit di dalam kawasan kebun sawit dan juga terdapat dua kolam takungan yang digunakan untuk aktiviti ternakan itu.

"Laporan polis telah dibuat oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan juga Jabatan Alam Sekitar berkaitan isu ini. Kita juga sudah mengambil sampel air parit bagi tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi pemeriksaan, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Keadaan air longkang di lokasi.
Keadaan air longkang di lokasi.

Ujarnya, pihak ladang menggunakan air kolam ini untuk cucian lantai reban ayam yang dilakukan 70 hari sekali bagi kerja pembersihan selain tiada water treatment plant di ladang tersebut.

"Setelah membersihkan tinja ayam, lantai dicuci dan air cucian akan melalui longkang. Air berkenaan kemudiannya mengalir ke dalam parit sebelum ke alur air berdekatan.

"Kita telah arahkan ladang tersebut ditutup sementara dan Jabatan Veterinar Negeri Sembilan telah mengeluarkan notis supaya membuat pembersihan serta kompaun kepada pemilik ladang di kawasan Chuah," katanya.

Katanya, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan oleh agensi bertanggungjawab sebelum tindakan seterusnya diambil.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!