Khairy, Syed Saddiq sertai marathon KBHM

Khairy Jamaluddin, Syed Saddiq
Khairy Jamaluddin, Syed Saddiq
A
A
A

KOTA BHARU - Dua bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara berentap dalam acara larian Kota Bharu Half Marathon (KBHM) Sabtu ini.

Penasihat KBHM, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kedua-dua mereka bakal bertarung bersama lebih 1100 peserta bagi kategori 21.1 kilometer (km).

Menurut beliau dua lagi kategori sempena Tahun Melawat Kelantan itu ialah 10km dan 5km.

"Kali terakhir penganjuran acara itu ialah tujuh tahun lalu namun kini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan berkenaan.

"Secara keseluruhannya, seramai 2,055 peserta dari seluruh negara sudah mendaftar untuk menyertai larian anjuran Yayasan KB Care," katanya ketika sidang akhbar pada Selasa.

Beliau memberitahu, pihak penganjur menyediakan hadiah wang tunai sehingga RM2,000 selain medal dan sijil penyertaan.

Jelasnya, pihak penganjur memilih laluan di kawasan bersejarah di bandar ini termasuk jalan sekitar Kota Darul Naim, kilang mancis dan Masjid Muhammadi sebelum berakhir di Padang Perdana.

"Acara bermula jam 4 pagi dan kita berharap semua peserta dapat menjaga kesihatan dan menamatkan larian mereka bagi membolehkan mereka menerima medal yang disediakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Takiyuddin, turut memeriahkan acara berkenaan ialah sepak takraw dengan pakaian tradisional, dikir barat serta senaman pagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!