Belanjawan 2025: Kementerian Komunikasi utamakan sektor telekomunikasi, ekonomi kreatif

Fahmi (dua dari kiri) pada Kempen CIMB Bank Bhd ‘Kita Bagi Jadi’ di Kuala lumpur, pada Selasa. Foto Bernama
Fahmi (dua dari kiri) pada Kempen CIMB Bank Bhd ‘Kita Bagi Jadi’ di Kuala lumpur, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Telekomunikasi dan ekonomi kreatif merupakan antara sektor yang menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi dalam Belanjawan 2025.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, sektor telekomunikasi antaranya melibatkan capaian internet terbaik di setiap sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi (IPT) manakala bagi ekonomi kreatif, usaha akan ditumpukan untuk memperkasakan pemain industri itu.

"Sektor telekomunikasi ini kita lihat seperti yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sebut dalam beberapa acara ataupun forum (mengenai) usaha untuk pastikan, contohnya sekolah-sekolah, dan untuk IPT mendapat capaian internet yang terbaik. Bukan hanya di luar bangunan tapi juga di dalamnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pelancaran Kempen CIMB Bank Bhd ‘Kita Bagi Jadi’ di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan ekonomi kreatif antaranya menerusi My Creative Ventures (MYCV) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Apa yang disebut sebagai ekonomi kreatif ini, yang dipelopori bukan hanya oleh pihak MYCV tetapi juga Finas akan menjadi satu keutamaan. Sebelum ini, kita tahu usaha pihak kerajaan melalui inisiatif seperti Insentif Filem Malaysia ataupun FIMI menjana hasil yang cukup positif dan cukup baik,” katanya.

Beliau berkata Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada 18 Oktober ini akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!