Wanita dipenjara 4 tahun kemuka maklumat palsu daftar kad pengenalan

Seorang pengusaha ikan masin dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku salah atas dua pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pada 2011 dan 2012. Gambar hiasan
Seorang pengusaha ikan masin dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku salah atas dua pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pada 2011 dan 2012. Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Seorang pengusaha ikan masin dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku salah atas dua pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pada 2011 dan 2012.

Kartinadari Amai, 56, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Ibu kepada 13 anak itu didakwa memberikan maklumat palsu bagi mendaftarkan kad pengenalan atas nama Mohd Hafik Julal serta Hasnani Julal di JPN Tawau pada 11 Mac 2011 dan 16 November 2012.

Berdasarkan fakta kes, JPN mendapati tiga anak didaftarkan kelahiran oleh tertuduh pada tahun sama iaitu Mohd Hafik pada 2 Mac 1999 dan Hasnani (14 Mei 1999) serta seorang lagi dikenali sebagai Merna (8 Jun 1999), dan mereka sebenarnya bukan anak kandung tertuduh.

Anak kandung sebenar tertuduh juga mengesahkan bahawa tiga individu itu bukan adik-beradik kandungnya dan selain itu hanya Hafik dan Hasnani didaftarkan kad pengenalan.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Don Stiwin menetapkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh tangkap pada 30 Ogos lepas dan berjalan berasingan, menjadikan tempoh penjara selama empat tahun.

Pegawai Pendakwa JPN Sabah Mohd Naser Nadzeri mewakili pihak pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Jhassary P Kang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!