Perhilitan rakam imej buaya timbul di Tasik Shah Alam

Imej buaya itu yang dirakam dron Jabatan Perhilitan di Taman Tasik Shah Alam di sini pada petang Selasa.
Imej buaya itu yang dirakam dron Jabatan Perhilitan di Taman Tasik Shah Alam di sini pada petang Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya merakam imej seekor buaya timbul selama lebih seminit di Taman Tasik Seksyen 7 di sini pada Selasa.

Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, imej itu dirakam menerusi dron di sekitar tasik itu kira-kira jam 5 petang.

"Buaya itu kemudian tenggelam semula ke dalam tasik berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sehubungan itu, katanya, Perhilitan sedang melakukan penilaian terperinci mengenai tingkah laku reptilia itu sebelum memasang perangkap untuk menangkapnya.

Wan Mohd Adib berkata, pihaknya masih berada di tasik itu bagi menjalankan pemantauan ke atas buaya berkenaan.

Jelas beliau, pihaknya juga sudah memasang 10 kain rentang amaran kepada pengunjung termasuk mereka yang berjoging pada waktu malam.

Selain itu, katanya, dua bot milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditempatkan di tasik berkenaan bagi membantu proses pemantauan lanjut.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti di Tasik Shah Alam, Seksyen 7 susulan tular dakwaan kemunculan seekor buaya di tasik berkenaan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular satu hantaran mendakwa terdapat kelibat seekor buaya di Tasik Seksyen 7 di sini menerusi media sosial.

Terdahulu, pada 2019 penduduk Shah Alam turut digemparkan dengan kehadiran seekor anak buaya tembaga di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 di sini.

.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!