32 individu termasuk tiga doktor kanan di Pulau Pinang ditahan

SPRM menahan 32 individu termasuk tiga pegawai perubatan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel yang dikatakan telah memalsukan tuntutan hilang upaya PERKESO di negeri itu. Gambar hiasan
SPRM menahan 32 individu termasuk tiga pegawai perubatan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel yang dikatakan telah memalsukan tuntutan hilang upaya PERKESO di negeri itu. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 32 individu termasuk tiga pegawai perubatan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel yang dikatakan telah memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan itu dan berkata, mereka yang ditahan ialah dua pegawai perubatan kanan hospital kerajaan dan seorang doktor pakar hospital swasta.

Beliau berkata, kesemua 32 individu itu terdiri daripada 19 pencarum PERKESO, lapan ejen, pegawai perubatan dan dua ‘runner’ itu ditahan dalam siri serbuan oleh SPRM baru-baru ini.

"Kebanyakkan pencarum yang ditahan itu bekerja dalam sektor kilang dan pelabuhan di negeri ini dan kami menjangkakan untuk membuat lebih banyak tangkapan ketika siasatan kes itu berjalan.

"Ada antara mereka termasuk doktor akan direman di mahkamah esok manakala yang lain telah dibebaskan selepas direkodkan keterangan mereka," katanya malam ini.

Azam berkata, pihaknya memberi tumpuan terhadap perkara itu selepas pendedahan di Dewan Negara Julai lepas.

"Kami memandang serius perkara itu dan mula meneliti dakwaan yang dibuat," katanya.

Julai lepas media melaporkan Ahli Dewan Negara Dr R.A Lingeshwaran menggesa Kementerian Sumber Manusia menjelaskan dakwaan beberapa doktor yang mengendalikan tuntutan hilang upaya PERKESO digantung, dikaitkan dengan kartel memalsukan permohonan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

Beliau dilapor memaklumkan Dewan Negara bahawa mereka digantung sehingga diberitahu kelak selepas PERKESO mendapat tahu mengenai kegiatan itu di sebuah hospital di Pulau Pinang.

Lingeshwaran yang juga bekas Pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang dilaporkan berkata beliau difahamkan kartel sedang melobi supaya doktor digantung perkhidmatannya itu kembali bertugas di hospital sama.

Beliau turut memberitahu Dewan bahawa terdapat 683 pengeluaran palsu dari 2018 hingga 2022 membabitkan kira-kira RM43 juta dengan 16 darinya melibatkan seorang doktor tertentu yang perkhidmatannya ditamatkan selepas aktivitinya terbongkar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!