PM New Zealand Luxon berlepas pulang
SEPANG - Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon malam ini berlepas pulang, selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2023.
Luxon diberikan upacara pelepasan pulang kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di Kompleks Bunga Raya di sini. Turut hadir Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Penerbangan komersial membawa Luxon berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) di sini kira-kira jam 11.30 malam ini.
Semalam, New Zealand dan Malaysia bersetuju untuk meningkatkan nilai perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus pada 2030.
Semasa lawatannya, Luxon bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneroka usaha baharu bagi mempererat hubungan dua hala, dengan tumpuan khusus bagi mengembangkan kerjasama perdagangan, pelaburan dan pertahanan.
Selain itu, Malaysia berharap New Zealand dapat menimbangkan kemungkinan melonggarkan kemasukan lebih ramai pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang baharu di negara itu.
Luxon turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, untuk berbincang isu pengukuhan kerjasama dalam bidang berkaitan tenaga baharu.
Pada 2023, New Zealand merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand sebanyak RM11.56 bilion (AS$2.54 bilion). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!