Harga motosikal dijangka naik
SHAH ALAM - Harga jualan motosikal model keluaran baharu dengan enjin berkapasiti 150cc ke atas dijangka mengalami kenaikan antara RM100 hingga RM200, ekoran keputusan kerajaan mewajibkan ia dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri berkata, bagaimanapun tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan itu.
“Kenaikan harga mungkin akan berlaku kepada model-model keluaran baharu tetapi tidak akan mengalami peningkatan yang banyak.
“Saya kira kalau naik pun, dalam RM100 ke RM200 tetapi banyak model motosikal di atas 150cc sebenarnya sudah dilengkapi ABS. Ini bermakna tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan harga,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan kesemua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas, wajib dilengkapi ABS bermula pada 1 Januari 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bagi menangani kes kemalangan jalan raya khususnya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Menurutnya, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.
Mengulas lanjut Hezeri berkata, usaha untuk mewajibkan penggunaan ABS pada motosikal sudah lama dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan kini menjadi mandatori untuk motosikal baharu dengan enjin di atas 150cc.
Menurutnya, ABS sangat penting untuk motosikal moden yang mempunyai prestasi enjin berkuasa tinggi dalam berdepan cuaca negara yang sering dilanda hujan.
“Apabila menempuh cuaca hujan, kejadian roda depan tergelincir sering berlaku. Pemasangan ABS membolehkan penunggang membrek dengan selamat walaupun sedang mengambil selekoh. Ia juga memang terbukti mampu menurunkan kadar kemalangan.
“Sistem ini lambat diperkenalkan kerana faktor harga. Dahulu, modul motosikal yang ada ABS memang mahal sedikit, tetapi dengan pertumbuhan kilang komponen merata dunia dan ia sudah menjadi kelengkapan wajib untuk banyak pasaran dunia, harganya telah turun dengan banyak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!