Hang-seo paling ideal kemudi Harimau Malaya

Hang-Seo
Hang-Seo
A
A
A

PEMINAT bola sepak mungkin terus melihat ‘rentak K-Pop’ di atas padang sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) benar-benar serius mahu menyunting Park Hang-seo sebagai pengendali skuad Harimau Malaya.

FAM menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini mendedahkan, bekas pengendali Vietnam dari Korea Selatan itu antara salah seorang calon menggantikan Kim Pan-gon.

Pan-gon meletak jawatan pada Julai lalu, menyaksikan tugas melatih skuad kebangsaan diambil alih Pau Marti Vicente. Setakat ini, Hang-seo dilihat seolah-olah menunggu lamaran rasmi daripada FAM.

Malah, kenyataan ejen yang mewakili jurulatih berusia 66 tahun itu, Lee Don-jun memberi gambaran bahawa Hang-seo sedia mempertimbangkan sebarang tawaran daripada FAM dengan syarat sebarang perbincangan perlulah melaluinya terlebih dahulu.

Kenapa Hang-seo, bukannya jurulatih lain? Ini kerana Hang-seo telah mencipta nama di Asia Tenggara dengan kejayaan luar biasa bersama skuad bola sepak negara itu. Di bawah bimbingannya, Vietnam menjadi pasukan yang dihormati dan ini menjadikan Hang-seo sebagai antara jurulatih paling disegani di rantau ini.

Reputasi Hang-seo bersama Vietnam adalah satu testimoni terhadap keupayaan beliau sebagai jurulatih. Di bawah bimbingannya, Vietnam berjaya memenangi Kejuaraan AFF 2018 dan menjuarai Sukan SEA 2019. Di Piala Asia 2019 pula, beliau membawa Vietnam ke suku akhir, satu pencapaian yang dianggap mustahil oleh ramai pemerhati sebelum itu.

Hang-seo juga mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai bola sepak Asia Tenggara. Pengetahuan ini boleh menjadi aset berharga untuk Harimau Malaya yang sedang berusaha memperbaiki prestasi mereka di pentas serantau.

Selain itu, Hang-seo terkenal dengan kemampuannya dalam membangunkan bakat muda. Di Vietnam, beliau berjaya menggilap ‘ubi muda’ dan membawa mereka ke pentas antarabangsa. Malaysia juga mempunyai ramai pemain muda berbakat yang memerlukan bimbingan daripada seorang jurulatih berpengalaman seperti Hang-seo untuk mencapai potensi penuh mereka.

Artikel Berkaitan:

Dengan rekod cemerlangnya di Vietnam, pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa dan keupayaannya untuk membangunkan bakat muda, Hang-seo adalah pilihan yang ideal untuk memimpin pasukan Malaysia ke arah kejayaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!