Merino rehat dua bulan, tambah pening Arteta
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta terpaksa akur kehilangan Mikel Merino selama hampir dua bulan selepas pemain tengah itu mengalami retak tulang bahu.
Merino yang menyertai The Gunners pada jendela perpindahan baru-baru ini mengalami kecederaan itu semasa sesi latihan pertamanya selepas bertembung dengan bek tengah, Gabriel Magalhaes.
Ketiadaan Merino menjejaskan percaturan Arteta menjelang derbi London menentang Tottenham pada 15 September.
Dengan Declan Rice digantung satu perlawanan susulan kad merah kontroversi ketika bertemu Brighton pada Sabtu lalu, barisan tengah Arsenal kini lompong.
Merino sepatutnya mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Rice, tetapi kecederaannya memaksa Arteta mencari pemain lain.
Pemain Sepanyol itu juga bakal terlepas aksi menentang Manchester City (22 September) dan Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain pada 1 Oktober.
Jika proses pemulihan Merino berjalan lancar, dia dijangka membuat kemunculan pertama EPL menentang Bournemouth pada 19 Oktober dan Liga Juara-Juara menentang Shaktar Donetsk tiga hari kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!