Trauma setiap kali hujan lebat

Banjir kilat yang melanda menyebabkan penduduk mengalami kerugian kerana banyak harta benda yang rosak.
Banjir kilat yang melanda menyebabkan penduduk mengalami kerugian kerana banyak harta benda yang rosak.
A
A
A

RUANGAN Apa Khabar Rakyat pada kali ini menyingkap masalah penduduk di Lorong Haji Lias, Temerloh yang berdepan masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat sejak beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Banjir kilat itu didakwa berlaku akibat masalah longkang selain pembangunan yang semakin padat di kawasan terbabit.

Keadaan itu juga menyebabkan penduduk bimbang keselamatan mereka dan keluarga setiap kali banjir kilat melanda.

Ikuti laporan ROSILAWATI ROSEDI yang bertemu penduduk di kawasan terbabit bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi mereka.

Masalah banjir kilat di Lorong Haji Lias di sini telah berlaku sejak beberapa tahun lalu namun hingga kini masih belum berjaya diselesaikan.

Pakaian milik pelanggan yang dijemur selepas bengkel milik Shamira dilanda banjir kilat.
Pakaian milik pelanggan yang dijemur selepas bengkel milik Shamira dilanda banjir kilat.

Terbaharu, hujan lebat pada 22 Ogos lalu menyebabkan hampir 10 buah rumah sekitar lorong itu terjejas akibat banjir kilat.

Penduduk mendakwa kejadian tersebut merupakan yang terburuk pernah dialami mereka berbanding sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Hal tersebut menyebabkan mereka semakin gusar dengan masalah cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Sokra menunjukkan paras air dalam kejadian banjir kilat terbaharu pada 22 Ogos lalu.
Sokra menunjukkan paras air dalam kejadian banjir kilat terbaharu pada 22 Ogos lalu.

Bagi Sokra Alias, 59, sepanjang tinggal di kawasan tersebut, kejadian pada Khamis lalu merupakan yang terburuk pernah dialami sejak tinggal di lorong itu lebih 30 tahun lalu.

“Dah banyak kali banjir kilat tapi kali ini yang paling teruk. Air naik begitu pantas berserta dengan lumpur. Tak sempat nak selamatkan barang.

“Hujan lebat kira-kira jam 7 malam dan air naik dengan cepat hingga ke paras lutut dalam tempoh setengah jam. Sekitar jam 9 malam barulah air surut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ujarnya, masalah itu berlaku kerana keadaan longkang yang sempit walaupun masalah tersebut sudah sering kali disuarakan kepada pihak yang bertanggungjawab tetapi masih gagal diselesaikan hingga ke saat ini.

Sokra turut berharap pihak berkaitan segera membantu penduduk di lorong terbabit untuk mengelakkan situasi lebih buruk selepas ini.

Sorang warga emas, Zamrina Jailani, 63, memberitahu, kejadian terbaharu itu menyebabkan dia trauma setiap kali hujan turun.

“Saya tinggal dengan seorang anak yang berdepan masalah kesihatan dan tidak mampu menyelamatkan barang.

“Sejak tinggal di sini bermula dari 2019, sudah banyak kerugian dihadapi kerana barang rosak akibat banjir kilat.

“Nak bersihkan rumah pun tak mampu. Terpaksa dapatkan bantuan ahli keluarga lain,” kata ibu tunggal itu.

Seorang tukang jahit, Shamira Shamsudin, 43, mengakui terkejut kerana kali pertama bengkel miliknya itu dinaiki air dalam kejadian tersebut.

“Selama saya buka bengkel ini sejak beberapa tahun lalu, tak pernah kena banjir kilat.

“Kejadian ini menyebabkan banyak kain milik pelanggan rosak dan saya terpaksa menanggung kerugian yang besar.

Keadaan bengkel milik Shamira selepas dilanda banjir kilat.
Keadaan bengkel milik Shamira selepas dilanda banjir kilat.

“Air naik sekelip mata. Selama ini hanya di depan pintu bengkel sahaja tapi kali ini air masuk sampai ke dalam bengkel,” tambahnya.

Jelas wanita terbabit, kejadian tersebut menyebabkan dia amat risau setiap kali hujan turun dan akan mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali hujan lebat agar tidak menanggung lebih banyak kerugian akibat banjir kilat.

--SH: Banyak kali lapor tetapi tiada penyelesaian diambil


Muhammad Yusof menunjukkan barang milik penduduk yang rosak dan terpaksa dibuang akibat banjir kilat terbaharu pada 22 Ogos lalu.
Muhammad Yusof menunjukkan barang milik penduduk yang rosak dan terpaksa dibuang akibat banjir kilat terbaharu pada 22 Ogos lalu.

Seorang penduduk, Muhammad Yusof Alias,73, memberitahu masalah banjir kilat di kawasan berkenaan sudah acap kali dilaporkan kepada pihak bertanggungjawab.

Bagaimanapun dakwanya, hingga kini tiada jalan penyelesaian diambil sehingga menyebabkan banjir kilat terus-menerus melanda lorong tersebut.

“Masalah ini semakin ketara apabila banyak pembangunan seperti taman-taman perumahan baharu dibuka di sekitar kawasan ini.

“Kami di sini sangat berharap pihak berkaitan segera membantu membina longkang kekal yang lebih besar untuk mengelakkan banjir kilat terus berlaku,” jelasnya.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, Muhammad Yusof berkata, rumah miliknya antara yang paling teruk terjejas akibat dinaiki air sehingga menyebabkan berlaku pelbagai kerosakan.

Justeru katanya, pihak terbabit perlu bertindak segera untuk mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku selain demi keselamatan penduduk yang semakin gusar dengan kejadian terbaharu pada 22 Ogos lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!