[VIDEO] SG4 sebuah syarikat, tidak jejas PN - Takiyuddin

A
A
A

KOTA BHARU - SG4 Group Sdn Bhd merupakan satu syarikat membabitkan perniagaan dan tidak menjejaskan mana-mana pihak di bawah Perikatan Nasional (PN).

Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, syarikat itu didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat (SSM) untuk mengembangkan lima kluster termasuk infrastruktur, logistik, pertanian dan pendidikan.

Menurut beliau, empat negeri yang menyertai syarikat berkenaan ada satu entiti yang boleh dilantik menjadi pemegang saham dan mereka juga bila-bila masa boleh keluar daripada syarikat.

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

"SG4 ialah sebuah syarikat. Jadi syarikat dari luar negara juga boleh menyertainya. Terbuka kepada sesiapa sahaja dan ada pemegang saham serta ahli lembaga pengarah," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Media pada Selasa memetik Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melalui Facebook beliau yang mempersoalkan nasib syarikat SG4 Group jika kerajaan negeri di bawah PN tumbang.

Pada Isnin, Ketua Panel Penasihat SG4, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mengambil langkah bersama untuk berkongsi kekayaan dengan membentuk SG4.

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu turut mendakwa akan timbul banyak masalah dalam aspek pekerja, aset, saham dan lembaga pengarah.

Artikel Berkaitan:

Jelas Takiyuddin, atas persetujuan bersama juga, mereka boleh membuat resolusi untuk keluar daripada syarikat.

"Saya pun tidak faham (maksud) speaker Johor itu. Kita kena faham antara kerajaan dan syarikat. Dalam sebuah syarikat, jika mahu tambah daripada empat menjadi enam pun boleh atau ada yang mahu keluar, itu juga dibolehkan," katanya.

Katanya lagi dari segi agihan keuntungan perniagaan, manfaat akan diperoleh semua negeri terlibat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!