PN setuju Bersatu calon PRK Mahkota

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) bersetuju memilih wakil dari Parti Pribumi Bersatu Malysia (Bersatu) sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun, setakat ini mereka belum memutuskan calon yang bertanding itu.

Menurutnya, keputusan calon dijangka dibuat dalam satu mesyuarat sebelum Muktamar Pas pada 14 September ini.

"Pengarah Pilihan Raya Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali akan buat pengumuman, kita tunggu dan lihat calonnya nanti," katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 2 Ogos lalu pada usia 64 tahun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September ini.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas memberitahu, usul penting dalam Muktamar Pas kali ini ialah untuk meminda dan mengemaskini Perlembagaan parti itu.

"Kita juga akan membincangkan untuk menang pilihan raya akan datang bergantung pada usaha termasuk sokongan kepada rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, Muktamar Pas yang disertai 1,400 perwakilan dari seluruh negara bermula dengan Muktamar Dewan Pemuda pada 11 dan 12 September manakala 13 September adalah Muktamar Muslimat.

"Muktamar Pas akan berlangsung selama dua hari iaitu 14 dan 15 September," katanya.

Takiyuddin turut memberitahu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Kuala Krau Pahang dipilih tahun ini berikutan komposisi Pas yang mantap di Pahang.

"Kita mengambil kira kekuatan PN di negeri itu yang memenangi 17 kerusi pada Pilihan Raya Umum lalu," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!