Teater Cicit Wan Lebo 'pulang' ke Parit

Mohd Nizar (empat dari kanan) bersama pelakon yang akan membintangi Teater Wan Lebo selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Sidang Media Teater Muzikal Cicit Wan Lebo di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak, di sini pada Selasa.
Mohd Nizar (empat dari kanan) bersama pelakon yang akan membintangi Teater Wan Lebo selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Sidang Media Teater Muzikal Cicit Wan Lebo di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak, di sini pada Selasa.
A
A
A

TEATER Cicit Wan Lebo yang menampilkan loghat Perak bakal dipentaskan julung kalinya di depan penduduk sekitar Pekan Parit bermula 26 hingga 28 September ini.

Pengarahnya, Amran Nasrudin berkata, pementasan teater tersebut kali pertama dipersembahkan pada tahun 2022 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan mendapat sambutan yang amat baik.

Susulan itu permintaan yang amat baik itu, maka pementasan tersebut dibawa ke Parit untuk dipertontonkan kepada masyarakat setempat yang lebih dekat dengan loghat di kawasan Perak Tengah ini.

"Kita melihat pementasan teater ‘Cicit Wan Lebo’ yang menggunakan loghat Perak ini mampu menjadi antara daya penarik bagi mempromosi adat dan budaya masyarakat setempat sekaligus menyemarakkan aktiviti teater di negeri ini.

"Lebih menarik lagi, semua pelakon yang kita tampilkan dalam teater ini merupakan anak Perak dan kebanyakannya berasal daripada Parit. Ini membuktikan bahawa Perak ini ada ramai anak seni yang berbakat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Sidang Media Teater Muzikal Cicit Wan Lebor di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak, di sini pada Selasa.

Menurutnya, teater yang akan dipentaskan di Astaka Ngah Sagor, Parit dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Seni dan Karyawan Perak Tengah dan Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (Pemekar).

Sementara itu bagi penasihat program, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, pementasan teater berkenaan dijangka akan menyemarakkan lagi aktiviti seni dan budaya di daerah Perak Tengah itu selain menghidupkan kembali suasana meriah di Pekan Parit.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada program untuk merancakkan aktiviti Tahun Melawat Perak 2024 yang sedang dilaksanakan ketika ini oleh kerajaan negeri.

“Saya yakin pementasan teater itu nanti akan mendapat sambutan kerana loghat atau bahasa yang diguna pakai adalah bahasa seharian masyarakat di Perak Tengah. Itu antara daya penariknya dan kalau lihat dengan lebih meluas ia adalah salah satu cara bagi memperkasakan semula daerah Perak Tengah yang kita ketahui suatu ketika dulu terkenal dengan aktiviti seni dan budayanya.

"Jadi kita harap orang ramai penduduk di sekitar Parit dapat sama-sama hadir menyokong pementasan teater ini nanti dan masuk adalah percuma,” katanya.

Teater Cicit Wan Lebo ini membariskan pelakon hebat terdiri dalam kalangan anak jati negeri seperti Anne Zahurin, Mubarak Majid, Reza Hasbi, Dewa Sapri, Yeop Nazri Khalid, Rose Aida serta menampilkan pelakon undangan iaitu Zarina Zainuddin, Raisuddin Hamzah dan Datuk Imuda.

Teater ini mengisahkan seorang wanita bernama Wan Esah atau Wan Lebo yang terkenal sebagai bidang kampung berbakat sebagai penglipur lara melalui syair, pantun dan seloka selain merupakan pengamal perubatan tradisional.

Konflik berlaku apabila dia mengharapkan cucunya Senah mewarisi pekerjaannya namun Senah lebih berminat untuk menjadi jururawat dan hasratnya kurang dipersetujui Wan Lebo.

Bagaimanapun cicit Wan Lebo menyahut cabaran itu sebagai pakar sakit puan bagi meneruskan legasi bidan yang ditinggalkan moyangnya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!