Kurangkan pergantungan ahli politik

A
A
A

Walaupun pilihan raya umum telah hampir dua tahun berlalu, saban hari kita masih lagi berterusan bercakap tentang isu politik.

Pihak kerajaan baharu yang menang masih menyalahkan kerajaan lama, manakala kerajaan lama pula tidak berhenti-henti mencari kesilapan kerajaan sekarang.

Hal itu bukan disembangkan di kedai kopi sahaja malah di tempat yang berprestij turut didendangkan. Bukan hanya dalam kalangan orang awam tetapi juga pimpinan masyarakat, politik dan golongan bangsawan.

Malah, saya sendiri ditanya pelbagai soalan yang tidak mudah bagi saya menjawab memandangkan saya tidak terlibat dalam politik kepartian secara langsung.

Kedua-dua blok politikus itu masih dilihat tidak henti-henti bercakaran antara satu sama lain. Sangat sedikit masa yang diperuntukkan bagi memikirkan pembangunan negara. Malah yang lebih dahsyat lagi kedua-dua blok itu berantakan secara dalaman juga.

Pergeseran intrablok itu bukan rahsia lagi tetapi sudah dizahirkan tanpa segan silu. Pergeseran intrablok itu disensasikan oleh media di mana satu parti komponen berlawanan dengan komponen yang lain pula. Ia berlaku dalam kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.

Terkini bukan pergeseran intrablok yang muncul tetapi hal dalaman sesuatu parti juga dikocakkan oleh pelbagai pihak mendapat perhatian media.

Jadi persoalan saya, bilakah masanya ahli-ahli politik ini mahu membina negara, merapatkan jurang antara kaum dan meletakkan negara di mercu kegemilangan? Kita sudah lihat negara yang dahulunya lebih mundur daripada Malaysia seperti Vietnam dan Indonesia sekarang sudah lebih berdaya saing mengatasi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Mungkin sudah sampai masanya kita tidak lagi memberi kepercayaan sepenuhnya kepada orang politik untuk membina negara. Para teknokrat, NGO dan ilmuwan perlu kini bergandingan tenaga untuk memacu kecemerlangan negara. Walaupun ia mungkin sukar dilakukan namun tidak mustahil. Bagi yang menjadi kerajaan buatlah kerja membina negara, jangan hanya melihat ke belakang menyalahkan orang lain. Jangan juga melabel orang tertentu dengan pelbagai label termasuk menyenaraihitamkan sesetengah golongan. Apatah lagi jika mahu bermusuh dengan penjawat awam.

Rakyat

Bagi yang menjadi pembangkang pula, nilailah segala tindakan kerajaan dan kritiklah secara membina jika terdapat sebarang kelemahan. Kritikan tersebut pula bukanlah ke tahap mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah.

Namun jika ia tidak boleh dilakukan, pulangkanlah kepada rakyat bagi menentukan masa depan negara. Biarlah rakyat yang membuat penentuan tentang masa depan negara.

Selagi mana rakyat bergantung sepenuhnya kepada ahli politik, selagi itulah para politikus merasakan mereka sangat penting di dalam negara.

Mengurangkan kebergantungan kepada mereka mungkin dapat menyedarkan mereka bahawa rakyat sudah jelak dengan gelagat mereka. Mereka perlu merasai denyut nadi rakyat dan tidak hanya duduk di kerusi empuk, tidur lena dengan berhawa dingin dan makan makanan enak.

Kelunakan hidup perlu dirasai bersama khususnya bagi rakyat luar bandar yang masih belum menikmati kemakmuran hidup. Mereka ini sibuk mencari sesuap nasi bagi menampung keperluan keluarga, tidak mengharap ihsan orang lain ataupun meminta sedekah. Namun pengorbanan mereka tidak dibantu oleh pihak berwajib seolah-olah mereka tidak wujud dalam negara kita.

Dalam hal demikian adakah kita masih mahu menyerah nasib kita sepenuhnya kepada golongan ahli politik yang sentiasa kelaparan kuasa atau kita mempunyai alternatif lain bagi membangun negara yang kita cintai ini?

Dalam sistem demokrasi, rakyatlah yang berkuasa. Jangan diwakilkan sepenuhnya kuasa tersebut kepada wakil rakyat sahaja.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!