AGC tolak representasi Adam Radlan kes rasuah, AMLA

Adam Radlan (kiri) beredar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, selepas menerima keputusan representasi berhubung kes rasuah dan AMLA yang dihadapinya.
Adam Radlan (kiri) beredar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, selepas menerima keputusan representasi berhubung kes rasuah dan AMLA yang dihadapinya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, berhubung 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa, di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Semasa prosiding di hadapan Hakim, Suzana Hussin, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh berkata, representasi berkenaan telah ditaklimatkan kepada AGC.

Bagaimanapun beliau berkata, permohonan Adam Radlan, 43, itu telah ditolak.

Mendengar perkara berkenaan, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili pemimpin Bersatu itu mengesahkan prosiding terdahulu telah menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan bermula November depan.

"Kami akan meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan pertama," katanya.

Susulan itu, mahkamah menangguhkan prosiding itu kepada 13 November.

Selain tarikh itu, bicara berkenaan akan dijalankan pada 15 Januari; 19, 20, 24, 25 Mac; 16, 17 Jun; 1 hingga 3 Julai dan 4, 5, 6, 11, 12 serta 13 Ogos 2025.

Artikel Berkaitan:

Adam Radlan (kiri) bersama peguam-peguamnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.
Adam Radlan (kiri) bersama peguam-peguamnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan didakwa menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada pengarah syarikat Metrasys, Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

Ringkasan berita:

  • Penolakan: AGC menolak representasi Adam Radlan mengenai 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
  • Pertuduhan: Adam didakwa meminta dan menerima suapan serta terlibat dalam projek Jana Wibawa.
  • Wang Haram: Dia juga didakwa atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM3 juta.
  • Tarikh Perbicaraan: Perbicaraan bermula 13 November 2024 dan berlanjutan hingga Ogos 2025.
  • Hukuman: Jika bersalah, hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tinggi menanti.
Dijana oleh AI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!