Berlagak pakar kesihatan

A
A
A

Penularan wabak koronavirus menggemparkan dunia. Namun tindakan segelintir individu yang menyebarkan berita palsu mengenai penyakit berkenaan boleh dianggap sebagai gejala di media sosial yang semakin menjadi-jadi.

Tindakan penyebaran berita palsu mengenai koronavirus menyebabkan kebimbangan, kebingungan dan panik. Sudah tentu maklumat yang diterima dalam media sosial mengganggu dan menggusarkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Tindakan tegas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan beberapa suspek yang disyaki menyebarkan berita palsu harus diperkasakan.

Malah dijangka lebih ramai individu yang tidak bertanggungjawab diambil tindakan agar dapat mengawal dan memastikan maklumat yang sahih sahaja berada di alam maya.

Sebenarnya, banyak lagi tindakan proaktif yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan pihak berwajib dalam menangani virus berkenaan.

Tindakan Jabatan Penerangan mengedar dan memberikan maklumat bersemuka kepada orang ramai seluruh Malaysia sedang giat dijalankan.

Kawalan di pintu masuk dan keluar oleh pihak KKM dan imigresen di lapangan terbang dan pelabuhan serta kawalan sempadan juga berjalan dengan lancar.

Namun pendekatan strategik secara bersepadu perlu didokong dengan mesej yang sahih dan pendidikan dan promosi kesihatan yang berterusan.

Artikel Berkaitan:

Media tradisional seperti televisyen, radio dan akhbar masih diperlukan dalam kempen kesihatan. Dalam masa sama, kekuatan media sosial hendaklah dilipatgandakan.

Oleh sebab terlalu banyak maklumat yang diperoleh menyebabkan kita tidak dapat mengenal pasti kesahihannya. Membingungkan.

Maka, bagi menangani isu penularan wabak koronavirus itu, biarlah pihak berwajib khususnya KKM yang tampil dan menjadi jurucakap utama.

Mesej-mesej dan maklumat terkini perlulah diberikan dalam pelbagai bentuk – cetak, multimedia, audio dan elektronik.

Beberapa negara menampilkan jurucakap daripada pihak doktor yang diperakui setiap dua jam di media utama.

Malah masyarakat diminta hanya merujuk maklumat daripada KKM dan pihak berwajib berkaitan virus berkenaan.

Langkah pencegahan dan kawalan kesihatan dalam kalangan masyarakat amat dituntut dan perlu dilakukan secara serius.

Apa yang berlaku masa kini seolah-olah semua 'berlagak' bagai pakar kesihatan. Terus memuat turun dan menyebarkan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya.

Mungkin juga tindakan segelintir netizen menularkan maklumat palsu mengenai koronavirus itu bertujuan mengingatkan atau cuba membuat langkah pencegahan. Tetapi maklumat yang salah sebenarnya hanya mengundang keresahan dan kekalutan.

Sebagai masyarakat yang cakna dan prihatin, kita perlu mengambil tahu punca dan bagaimana penularan penyakit berjangkit.

Namun yang lebih penting masyarakat perlu memfokus kepada langkah pencegahan dengan mendapat maklumat yang tepat, benar dan sahih daripada pihak berwajib dan berwibawa.

Sesungguhnya, tanggungjawab mencegah penyakit terletak kepada semua individu dan bukan hanya kementerian atau anggota kesihatan semata-mata.

Maka biarkan mereka yang berwibawa, berpengetahuan untuk menjadi jurucakap dan penyebar hebahan maklumat tepat.

Yang lebih penting, jangan sebarkan maklumat jika kita tidak pasti sumber dan kesahihannya.

* Prof Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!