Terengganu sumbang RM700,000 bantu rakyat Palestin

Ahmad Samsuri (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM700,000 kepada Muhammad Nadir Al-Nuri (tengah)
Ahmad Samsuri (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM700,000 kepada Muhammad Nadir Al-Nuri (tengah)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyerahkan sumbangan berjumlah RM700,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) untuk membantu serta meringankan beban rakyat Palestin.

Replika cek sumbangan itu diserahkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di sini pada Selasa.

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, sumbangan tersebut merupakan hasil sumbangan agensi di bawah kerajaan negeri dan rakyat Terengganu bagi membantu mengurangkan kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin.

"Diam-diam ubi berisi, begitulah perumpamaan selayaknya untuk Kerajaan Terengganu.

"Walaupun nampak senyap, tenang dan bersahaja tetapi kerja berjalan tanpa banyak bicara.

“Baru kira-kira sebulan kami berjumpa dengan Datuk Seri Ahmad Samsuri dan kami dijemput untuk menerima cek bernilai RM700,000 untuk saudara-saudara kita di Gaza,” katanya seperti dipetik melalui portal rasmi kerajaan negeri di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhammad Nadir Al-Nuri turut berterima kasih kepada rakyat Terengganu atas sumbangan diberikan.

Beliau berkata, sumbangan itu akan digunakan sebagai permulaan pembangunan Bangunan Apartment Terengganu di Bandar Wakaf Malaysia di Gaza setelah tamat genosid kelak.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!