KDN digesa bebaskan kanak-kanak dari Baitul Mahabbah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Julai lalu telah menyatakan hasratnya untuk membuka enam pusat Baitul Mahabbah menjelang bulan Disember 2024 dan membangunkan sekurang-kurangnya enam pusat lagi pada tahun 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Julai lalu telah menyatakan hasratnya untuk membuka enam pusat Baitul Mahabbah menjelang bulan Disember 2024 dan membangunkan sekurang-kurangnya enam pusat lagi pada tahun 2025.
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa membebaskan kanak-kanak dari Baitul Mahabbah dan depot tahanan imigresen lain dengan mewujudkan alternatif jagaan berasaskan komuniti.

Rangkaian Penghapusan Tahanan (EDN) berkata, inisiatif itu boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan organisasi-organisasi perlindungan kanak-kanak yang boleh memberi sokongan pengurusan kes dan hubungan kepada komuniti-komuniti pelarian.

Katanya, cadangan berkenaan disuarakan kerana Baitul Mahabbah masih menafikan hak kebebasan kanak-kanak dan masih merupakan sejenis bentuk penahanan kerana pusat-pusat terbabit dikawal oleh undang-undang serta prosedur imigresen yang ketat walaupun beberapa langkah telah diambil untuk memperbaiki keadaannya.

“Setakat Julai 2024, terdapat 170 kanak-kanak ditempatkan dalam pusat-pusat Baitul Mahabbah di seluruh negara. Tiada rancangan alternatif untuk mengeluarkan kanak-kanak dari Baitul Mahabbah selain daripada penghantaran pulang.

“Beberapa kanak-kanak pelarian telah ditempatkan di dalam kemudahan Baitul Mahabbah selama hampir setahun tanpa sebarang rancangan untuk melepaskan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kenyataan EDN pada Rabu.
Kenyataan EDN pada Rabu.

EDN adalah gabungan 21 organisasi masyarakat sivil dan individu yang bekerja secara kolektif untuk memastikan tiada orang ditahan di Malaysia kerana status imigresen mereka.

EDN mendakwa, tidak ada sebarang bentuk penilaian yang dijalankan untuk menentukan sama ada pusat-pusat Baitul Mahabbah berkenaan sebenarnya bermanfaat untuk kesejahteraan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Namun, menurutnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Julai lalu telah menyatakan hasratnya untuk membuka enam pusat Baitul Mahabbah menjelang bulan Disember 2024 dan membangunkan sekurang-kurangnya enam pusat lagi pada tahun 2025.

Justeru, EDN menyeru KDN menubuhkan sebuah kumpulan kerja bersama wakil masyarakat sivil untuk membangunkan dan menjalankan sebuah projek rintis bagi membebaskan kanak-kanak dari Baitul Mahabbah kepada penempatan komuniti.

Tambahnya, ia juga untuk menjalankan penilaian bebas terhadap Baitul Mahabbah bagi menyelaraskan pusat tersebut mengikut kepentingan terbaik kanak-kanak.

“Kerajaan harus tekad dalam komitmen mereka untuk menegakkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak serta menggerakkan sumber dari depot dan fasiliti tahanan ke arah memperkukuhkan sistem perlindungan kanak-kanak kebangsaan yang menyediakan penjagaan serta perlindungan berasaskan komuniti, bukan berdasarkan institusi untuk kanak-kanak pelarian dan migran.

“Di peringkat global, banyak negara lain telah mengambil langkah-langkah penting ini dan telah beralih dari pemikiran berdasarkan fasiliti tahanan ‘mesra kanak-kanak’ atau ‘mesra keluarga’ ke arah menamatkan penahanan imigresen kanak-kanak.

“Sempena ulang tahun penubuhan Baitul Mahabbah ini, EDN menggesa kerajaan untuk meningkatkan usaha untuk memenuhi komitmen tempatan dan antarabangsa kita untuk menegakkan kepentingan terbaik kanak-kanak,” ujarnya.

Kata EDN, pihaknya bersedia untuk menyokong KDN, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), penggubal dasar kerajaan dan kakitangan pelaksana untuk meneruskan komitmen mereka bagi mengeluarkan kanak-kanak dari semua pusat tahanan imigresen serta melaksanakan alternatif kepada tahanan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!