Penubuhan SG4 Group tiru konsep 1MDB - Pemuda UMNO Kedah

Laporan Sinar Harian mengenai penubuhan syarikat SG4 Group Sdn Bhd. Gambar kecil: Mohd Raqib
Laporan Sinar Harian mengenai penubuhan syarikat SG4 Group Sdn Bhd. Gambar kecil: Mohd Raqib
A
A
A

ALOR SETAR - Penubuhan syarikat SG4 Group Sdn Bhd didakwa memiliki konsep sama seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Raqib Abu Hassan berkata, ini kerana syarikat berkenaan berperanan menarik pelabur masuk dan mengambil hasil daripada empat negeri terlibat.

Menurutnya, sebelum ini Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad antara individu yang menentang penubuhan syarikat 1MDB oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun kini mewujudkan sebuah syarikat seakan-akan 1MDB.

“Apa yang saya lihat penubuhan syarikat SG4 Group ini meniru konsep 1MDB.

“Penubuhan syarikat SG4 Group dianggotai empat negeri diperintah oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Kedah. Mereka mengatakan syarikat ini mampu untuk tarik pelabur-pelabur dari China, Korea, dan Jepun.

“Dahulunya, mereka yang menentang penubuhan 1MDB oleh Najib terutamanya Tun Mahathir sendiri, akhirnya mereka pula menubuhkan syarikat ‘ala-ala’ 1MDB. Kita lihatlah apa akan terjadi selepas ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Mohd Raqib berkata, kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu juga didakwa berpunca daripada hasutan oleh Tun Mahathir berkaitan 1MDB.

“Dulu Tun Mahathir sendiri yang sering ‘serang’ 1MDB bermula dari tahun 2014 hinggalah 2018. Beliau tiupkan sentimen supaya rakyat tolak UMNO sehingga menyebabkan kekalahan UMNO/BN, dengan mengaitkan peranan Najib dalam penubuhan 1MDB.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang, beliau berjaya mengajak empat negeri menubuhkan syarikat ‘ala-ala’ 1MDB untuk menarik pelabur,” ujarnya.

Menurutnya lagi, diharap rakyat dapat menilai apa yang berlaku agar tidak terpedaya dengan agenda penubuhan SG4 Group.

Pada Isnin, media melaporkan, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menubuhkan syarikat bersama, SG4 Group Sdn Bhd sebagai usaha untuk memajukan lagi pentadbiran yang dikuasai pembangkang.

Selain berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil kepada empat-empat negeri secara saksama, setiap negeri memiliki 25 peratus saham syarikat tersebut. Ia bagi memastikan negeri yang ketinggalan seperti Perlis juga mendapat hasil yang sama seperti negeri lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!