AS dakwa pemimpin Hamas cetus serangan ke atas Israel 7 Oktober 2023
WASHINGTON - Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) telah mendakwa pemimpin kanan Hamas termasuk Yahya Sinwar berhubung serangan 7 Oktober tahun lepas ke atas Israel, menurut dokumen mahkamah.
Pendakwaan yang didedahkan pada Selasa adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan individu yang bertanggungjawab atas peranan mereka dalam serangan itu dihadapkan ke muka pengadilan, lapor Sputnik.
Dokumen itu mendedahkan bahawa antara lima defendan yang menghadapi tujuh pertuduhan ialah pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh.
"Jabatan Kehakiman telah mendakwa Yahya Sinwar dan pemimpin kanan Hamas yang lain kerana membiayai, mengarah, dan menyelia kempen selama beberapa dekad untuk membunuh warga Amerika serta membahayakan keselamatan negara Amerika Syarikat,” menurut Peguam Negara AS Merrick Garland dalam pendakwaan itu.
Aduan itu menyatakan bahawa dari sekitar 1997 hingga tarikh aduan difailkan, Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar, Mohammad Al-Masri, Marwan Issa, Khaled Meshaal, Ali Baraka, dan lain-lain telah berpakat untuk memberikan sokongan material atau sumber kepada Hamas.
Defendan dituduh bersubahat untuk menyediakan sokongan material kepada organisasi pengganas asing, konspirasi untuk membunuh warga AS, dan konspirasi menggunakan senjata pemusnah besar-besaran.
Mereka juga didakwa membiayai keganasan dan berkomplot untuk mengebom tempat awam.
Menurut dokumen itu, ejen khas FBI Paula Menges meminta waran tangkap untuk semua defendan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!