Kataseni lahirkan penulis, pengkritik seni
MENULIS dan membuat kritikan seni memerlukan seseorang penulis memahami antaranya karya-karya dihasilkan, sejarah seni dan mengenali seniman yang menghasilkan karya-karya tersebut.
Atas faktor itu mendorong Kataseni dan Balai Seni Negara menerusi Tabung Bantuan Seni, menganjurkan satu inisiatif yang diberi nama Kataseni baru-baru ini.
Pengarah Projek Kataseni, Abdullahjones berkata, pihaknya berharap usaha murni ini dapat melahirkan lebih ramai penulis dan pengkritik yang benar-benar memahami tentang seni.
"Program ini adalah satu langkah awal yang penting dalam usaha kita melahirkan penulis dan pengkritik seni yang berkualiti.
"Dengan pendedahan yang lebih mendalam terhadap dunia seni, kita berharap dapat membina satu generasi baru yang bukan sahaja mampu menulis dengan baik tetapi juga mempunyai sensitiviti dan pemahaman yang mendalam terhadap seni itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Program yang telah dianjurkan selama dua hari berturut-turut pada 31 Ogos dan 1 September lalu, bertujuan memperkukuhkan ekosistem seni tanah air melalui penulisan dan kritikan yang lebih mendalam.
Berkongsi lanjut mengenai program tersebut, para peserta telah dibawa ke pameran ‘Pesan dan Kenangan’ anjuran Harta Art Gallery, menampilkan koleksi seni dimiliki Pakharudin Sulaiman, seorang kolektor seni dan peguam disegani.
Peserta program diberi peluang untuk melihat dan memahami dengan lebih mendalam karya-karya seni yang dipamerkan, serta berdialog dengan Pakharudin mengenai falsafah dan proses di sebalik koleksinya.
Lawatan kedua pula telah diadakan di Gudang Studio milik Hamir Soib, seorang pelukis terkenal Malaysia.
Di Gudang Studio, peserta program mendapat pendedahan secara langsung tentang proses kreatif Hamir Soib, termasuk pengaruh budaya dan sosial yang mencorakkan karya-karya beliau.
Abdullahjones turut berharap program Kataseni itu akan menjadi satu platform yang terus relevan dan bermanfaat dalam usaha memperkasakan industri seni tempatan.
"Selain turut merangsang lebih banyak dialog dan perbincangan kritikal mengenai karya-karya seni yang dihasilkan oleh seniman tanah air," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!