Ajal ketika mendaki Gunung Ledang

Gambar hiasan. Foto: Pembaca
Gambar hiasan. Foto: Pembaca
A
A
A

JOHOR BAHRU - Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak hari ini membantu menurunkan jenazah seorang lelaki yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika mendaki Gunung Ledang, dekat Tangkak.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, Amran Rawi, 59, yang merupakan bekas anggota polis, disahkan meninggal dunia ketika berada di kawasan Batu Hampar, yang berketinggian 1,050 meter dari aras laut.

Rafiah berkata, pusat gerakan operasi bomba negeri menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis pada jam 1.51 tengah hari tadi bagi memohon bantuan bomba membawa turun jenazah Amran.

"Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan sebuah van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi kejadian bagi membawa turun jenazah itu.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seorang lelaki berumur 59 disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat komplikasi serangan jantung oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Rafiah berkata, Amran dilaporkan memulakan pendakian di gunung setinggi 1,276 meter terbabit pada jam 8.35 pagi tadi bersama sekumpulan pendaki melibatkan 56 orang termasuk dua kanak-kanak.

Beliau berkata, ketika tiba di Batu Hampar hampir menuju ke check point 7 pada jam 11.30 pagi, Amran kemudian mengalami serangan jantung.

"Bagaimanapun, kumpulan berkenaan sukar mendapat liputan talian telefon pada paras ketinggian 1,050 meter itu, sehingga sukar untuk menghubungi pihak polis dan bomba," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi menurunkan jenazah Amran yang dibantu polis itu tamat kira-kira 7.05 malam dan jenazahnya dibawa ke Hospital Tangkak untuk tindakan lanjut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!