Baling bom petrol di pusat hiburan: 4 lelaki mohon gugur kes
KUALA LUMPUR - Empat individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, masing-masing satu pertuduhan bersubahat dalam kes membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan empat bulan lalu, mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan pertuduhan terbabit.
Mereka ialah dua pengawal keselamatan, M Preemraj, 25, dan Nor Rahman Sadik, 25; penghantar barang, Muhammad Hasan Abd Hamid, 29, serta penarik kereta, Muhamad Nur Kholis Muhamad Syaikhudin, 23.
Semasa prosiding sebutan kes, peguam, Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili semua tertuduh berkata, permohonan untuk menggugurkan pertuduhan tersebut telah dihantar kepada AGC pada Selasa.
“Ini kerana terdapat perkembangan baharu mengenai kes terbabit dan saya percaya perbincangan mengenai isu tersebut perlu dibuat bersama semua anak guam.
“Jika representasi pertama ini ditolak, saya tidak menolak kemungkinan akan menghantar permohonan kedua," katanya kepada Hakim, Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal mengesahkan pihaknya menerima representasi itu.
“Ia baru dimasukkan semalam, namun belum ada keputusan,” katanya yang memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi status permohonan terbabit.
Nu'aman kemudiannya menetapkan 25 September ini bagi sebutan semula kes dan status representasi itu.
Pada Mei lalu, empat individu didakwa bersubahat bersama-sama seorang lagi suspek yang masih bebas, melakukan khianat iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu hadapan pusat hiburan terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kelab hiburan di Jalan Yap Kwan Seng dalam Daerah Dang Wangi di sini, sekitar jam 2.17 pagi, 9 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 435 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 10 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan suasana gempar di hadapan sebuah pusat hiburan di lokasi berkenaan selepas sekumpulan individu bertindak membaling bom petrol.
Video kejadian pertama yang tular berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian memaparkan empat individu menaiki motosikal di hadapan pusat hiburan terbabit.
Individu terlibat kemudiannya dilihat membaling objek dipercayai bom petrol ke arah premis terbabit sebelum beredar.
Video kedua tular memaparkan beberapa individu bertindak membantu memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!