Laporan disamun bongkar jenayah seludup PATI

Tangkap layar rakaman tular membabitkan tiga lelaki Myanmar yang ditangkap orang ramai. Foto tular, gambar kecil: Kama Azural
Tangkap layar rakaman tular membabitkan tiga lelaki Myanmar yang ditangkap orang ramai. Foto tular, gambar kecil: Kama Azural
A
A
A

PASIR MAS - Tindakan seorang buruh warga Myanmar membuat laporan palsu konon dirompak, membongkar pembabitkan dalam jenayah penyeludupan migran menerusi penyediaan rumah penampungan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Batu Karang, Rantau Panjang, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan bersama isteri dan kakaknya yang dipercayai turut terbabit sama dalam jenayah berkenaan.

Menurut Kama Azural, kegiatan mereka terbongkar selepas siasatan dijalankan terhadap tiga lelaki migran warganegara sama berusia 18 hingga 25 tahun yang berjaya ditangkap dan dipukul oleh orang ramai kerana dikatakan merompak suspek sekeluarga tersebut di sebuah rumah.

“Polis pada mulanya menerima laporan daripada suspek yang menyatakan dia, isteri dan anaknya disamun oleh lima lelaki serta satu wanita bertopeng dan bersenjatakan pisau.

“Suspek juga memberitahu salah seorang penyamun mengacukan pisau di leher anaknya dan mengugut meminta duit sebanyak RM10,000.

“Susulan itu, siasatan polis dijalankan terhadap tiga lelaki yang berjaya ditangkap penduduk tersebut, bagaimanapun mendapati tidak berlaku rompakan sebaliknya ketiga-ketiga mereka ialah migran,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, pada Rabu.

Sebelum ini, tular rakaman tiga lelaki ditangkap dan dipukul orang ramai kerana dikatakan merompak sebuah keluarga dengan menggunakan senjata pisau.

Beliau memberitahu, siasatan lanjut polis mendapati suspek juga menggunakan kediamannya untuk dijadikan rumah penampungan kepada PATI dan mengada-adakan cerita mengatakan disamun apabila kesemua PATI bolos dan melarikan diri dari rumah terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Apabila PATI lari, suspek membuat laporan dia dirompak bagi mengaburi perbuatannya melindungi PATI.

“Suspek, isteri dan kakaknya itu bagaimanapun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Tambah beliau, piham polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu bagi kepentingan diri sendiri untuk mengelirukan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan yang adil dan telus terhadap masyarakat.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap pesalah yang didapati melakukan kesalahan membuat laporan palsu.

“Polis juga mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri di atas sebarang kejadian jenayah yang berlaku sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan melalui peruntukan undang-undang,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!