'Lepas main bola mestilah lepak mamak' - Amirudin
SHAH ALAM - Tular di media sosial video memaparkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melepak di sebuah restoran bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menerusi hantaran video dimuat naik di akaun X dan Facebook Amirudin, mereka berdua melepak dan berbual mesra bersama selepas perlawanan persahabatan bola sepak semasa lawatan rasmi kerajaan Kedah di Selangor.
“Lepas main bola mestilah lepak mamak,” ciap Amirudin.
Dalam video terbabit, kelihatan kedua-dua pemimpin itu beramah mesra dan bergelak tawa sama seperti yang dilakukan oleh rakyat biasa.
Video menjadi tular apabila sukan dan politik adalah antara topik yang paling banyak dibincangkan dan mendapat perhatian rakyat Malaysia.
Namun sikap kedua-dua pemimpin tertinggi negeri terbabit disifatkan berbeza apabila sukan lebih menyatukan mereka, manakala politik menyebabkan banyak perbezaan pendapat.
Pada Selasa, pasukan pilihan Menteri Besar Kedah menewaskan pilihan Menteri Besar Selangor 8-5 dalam satu aksi perlawanan persahabatan bola sepak di Shah Alam.
Kedua-dua pasukan menampilkan aksi agresif untuk mencari gol dan dalam separuh masa pertama, Sanusi berjaya menjaringkan gol buat pasukannya.
Sanusi yang ditemui selepas sesi penyampaian hadiah berkata, perlawanan itu merupakan langkah politik matang walaupun masing-masing berlainan parti.
Katanya, aktiviti sukan sememangnya menyatukan semua pihak tanpa mengira latar belakang.
Sementara itu, menurut Amirudin, perbezaan parti politik tidak menghalang mereka untuk bersama-sama beramah mesra selain menyantuni kerajaan negeri Kedah dalam lawatan rasmi ke Selangor.
Tambahnya, selepas pilihan raya negeri (PRN), masing-masing perlukan masa untuk ‘bertenang’ bagi membuat dasar dan polisi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!