[VIDEO] Penduduk resah bau busuk akibat pencemaran di Sungai Pandan

A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Melayu Pandan resah dengan pencemaran yang berlaku di Sungai Pandan hingga menimbulkan masalah bau busuk di kawasan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian pada Rabu, mendapati masalah bau busuk berkenaan masih ada walaupun tidak sekuat semalam (Selasa).

Menurut penduduk, Muhd Mirzal Abd Hashim, 42, bau yang berpunca dari Sungai Pandan di kampung tersebut memang busuk dan bau tersebut tidak pernah dihidu sebelum ini.

Malah katanya, bau busuk berkenaan turut menyebabkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Kempas di Kampung itu terpaksa menutup operasi, pada Selasa.

Penduduk Kampung Melayu Pandan resah dengan pencemaran yang berlaku di Sungai Pandan hingga menimbulkan masalah bau busuk di kawasan berkenaan. Gambar kecil: MuhAbd Hashimd Mirzal, Siti Nor Azliza, dan Mohd Faudzi mohamad
Penduduk Kampung Melayu Pandan resah dengan pencemaran yang berlaku di Sungai Pandan hingga menimbulkan masalah bau busuk di kawasan berkenaan. Gambar kecil: MuhAbd Hashimd Mirzal, Siti Nor Azliza, dan Mohd Faudzi mohamad

"Memang tak pernah bau yang macam ni kerana bau dia memang kuat.. sakit hidung dibuatnya.

"Kami pun ambil keputusan bagi menghubungi pihak bomba mengenai perkara ini.

"Hasil siasatan memang berpunca dari sungai bau tersebut dan diharapkan pihak berkuasa dapat memantau keadaan terutamanya kilang-kilang berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi guru Tabika Kempas di kampung berkenaan, Siti Nor Azliza Abd Aziz, 39

pihaknya membuat keputusan untuk menutup operasi pada Selasa susulan bau busuk yang agak kuat dari Sungai Pandan.

Anggota Hazmat mengambil sampel air dari Sungai Pandan
Anggota Hazmat mengambil sampel air dari Sungai Pandan

Bagaimanapun katanya, tabika tersebut akan meneruskan operasinya pada Khamis setelah dimaklumkan mengenai keadaan terkini yang agak mengenai keadaan persekitaran di kampung berkenaan.

"Semalam (Selasa), dalam group WhatsApp, kami telah membenarkan kesemua anak-anak di tabika ini balik kerana tidak mahu menanggung risiko akibat bau busuk yang agak kuat dari Sungai Pandan.

"Bau busuk itu memang kuat, maklum lah kami ni sebelah sahaja dengan sungai bila buka tingkat, memamg dah boleh hidu bau busuk tu...jadi, kami pun dah bincang dengan pengerusi tabika supaya anak-anak ini dibenarkan pulang.

"Insya-ALLAH, esok (Khamis), sekolah (tabika), ini akan dibuka semula," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Pandan, Mohd Faudzi Mohamad, 51, berkata, masalah bau tersebut berlaku buat kali pertama biarpun sungai berkenaan telah dicemari.

Justeru katanya, perkara itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk yang bimbang keadaan menjadi lebih dengan buruk selepas ini.

"Masalah pada sungai ni adalah pencemaran bau yang amat teruklah dan bomba dah sahkan ada individu tertentu yang buang bahan kimia ke dalam sungai di sini.

"Bomba juga dah jalankan siasatan... pagi ni walau masih ada bau tapi tak lah seteruk semalam.

"Bomba juga maklumkan keadaan sekarang terkawal; udara dan sungai telah kembali normal walaupun masih ada bau," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!