RCI Batu Puteh: Keputusan semakan kehakiman Dr Mahathir 28 Oktober

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan semakan kehakiman yang difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Mahkamah Tinggi di sini ditetapkan pada 28 Oktober depan.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bagi pihak Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebagai responden.

Sementara bekas Perdana Menteri itu selaku pemohon diwakili peguam, Zainur Zakaria.

Semasa hujahan, Shamsul berkata, permohonan semakan kehakiman itu bersifat akademik kerana siasatan sudah selesai.

Selain itu katanya, laporan berkenaan telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bulan lalu.

“Terma rujukan RCI tidak menamakan pemohon sebagai subjek dalam siasatan dan bukannya menuding jari kepada Dr Mahathir,” katanya.

Bagaimanapun, Zainur menghujahkan semakan kehakiman itu belum bersifat akademik.

“Dr Mahathir merupakan subjek dalam RCI, tetapi beliau tidak dibenarkan diwakili peguam melalui prosiding yang dijalankan secara tertutup,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman supaya prosiding RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dalam afidavit sokongan mendakwa, keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam adalah tidak munasabah.

Beliau memfailkan permohonan itu melalui Law Practise of Rafique di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan menamakan Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan Timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden.

Turut dinamakan sebagai responden ialah ahli-ahli RCI iaitu Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Profesor Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir, Tuan Hai Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.

Dr Mahathir memohon deklarasi bahawa beliau adalah seorang individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang sedang disiasat oleh RCI untuk mengkaji perkara mengenai pengendalian kes itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Selain itu, beliau memohon perintah melarang Md Raus daripada bertindak selaku Pengerusi RCI dan melarang Dr Baljit serta Mohammed Ridha menjadi ahli RCI.

Dr Mahathir berkata, pelantikan Md Raus sebagai Pengerusi RCI menimbulkan 'real danger of bias' kerana wujud perselisihan faham antara Md Raus dengan beliau berhubung perkara itu yang akan memberi kesan terhadap ketelusan Md Raus dalam membuat keputusan bagi prosiding RCI.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!