Warga asing ditahan bersama kokain bernilai RM430,000

Suspek warga asing, dadah serta kereta Perodua Bezza yang dirampas.
Suspek warga asing, dadah serta kereta Perodua Bezza yang dirampas.
A
A
A

NILAI - Kehadiran sebuah kereta jenis Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Putra Nilai di sini telah membawa kepada penemuan dadah bernilai RM430,000 pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, dalam operasi khas dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada jam 4.30 petang itu, seorang suspek lelaki warga asing turut ditahan.

"Dalam operasi tersebut, polis telah terserempak dengan sebuah kereta Perodua Bezza dinaiki dua lelaki warga asing dalam keadaan yang mencurigakan di tempat letak kenderaan pangsapuri tersebut.

"Menyedari kehadiran polis, salah seorang suspek telah bertindak agresif dan berjaya melarikan diri manakala seorang lagi telah berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam kereta itu menjumpai satu bungkusan warna coklat mengandungi dadah jenis kokain anggaran berat 2,270 gram bernilai RM430,000.

Tambah beliau, ketika tangkapan dilakukan, polis telah melepaskan dua das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.

"Polis telah menyita kereta Perodua Bezza bernilai RM25,000 dan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM455,000.

"Permohonan reman terhadap suspek yang berjaya ditangkap telah dibuat di Mahkamah Seremban dan dibenarkan reman tujuh hari bermula pada Selasa sehingga 10 September," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-7904222.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!