Kon Yeow tolak bertanding pemilihan DAP Pulau Pinang

Kon Yeow menunjukkan surat pemberitahuan pencalonannya dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bertarikh 27 Ogos pada sidang akhbar pada Rabu.
Kon Yeow menunjukkan surat pemberitahuan pencalonannya dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bertarikh 27 Ogos pada sidang akhbar pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang akan diadakan pada 22 September ini.

Kon Yeow berkata, beliau telah menerima surat pemberitahuan daripada DAP Pusat berhubung pencalonannya itu pada 27 Ogos lalu namun telah menolaknya.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan itu adalah untuk memberi laluan kepada muka baharu.

"Saya menerima surat pemberitahuan daripada Pusat mengatakan saya telah dicalonkan untuk bertanding dalam Jawatankuasa DAP Pulau Pinang. Setelah mempertimbangkannya dengan teliti, saya telah membuat keputusan untuk tidak menerima pencalonan tersebut.

"Setelah dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya umum negeri pada 2023, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan saya untuk merangka pelan peralihan kepimpinan.

"Oleh itu, saya telah memutuskan untuk mengambil langkah pertama dalam pelan peralihan kepimpinan ini dengan memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk dipilih sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang dalam pemilihan Jawatankuasa Negeri pada 2024," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Rabu.

Tambah Kon Yeow, beliau yakin bahawa perwakilan akan memilih Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang cemerlang untuk meneruskan misi politik parti di negeri ini.

"Saya percaya waktu ini amat sesuai kerana Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu akan mempunyai lebih tiga tahun untuk memimpin dan mempersiapkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow turut berterima kasih kepada parti dan ahli-ahlinya yang memberi sokongan kepadanya selama ini.

"Terima kasih kepada parti dan ahli-ahli yang telah memberi sokongan padu kepada saya sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang selama 25 tahun serta lapan tahun sebagai Setiausaha DAP Pulau Pinang sebelum itu.

"Terima kasih juga kepada rakyat Pulau Pinang atas sokongan dan semangat juang yang mereka tunjukkan sepanjang saya berkhidmat sebagai Pengerusi dan Setiausaha DAP Pulau Pinang," katanya.

Dalam pemilihan DAP Pulau Pinang tiga tahun yang lalu, Kon Yeow telah dipilih menjadi Pengerusi DAP Pulau Pinang dengan undian tertinggi, iaitu selepas memiliki majoriti sebanyak 1,211 undi.

Ditanya sama ada keputusannya itu akan memberi kesan kepada jawatannya sebagai Ketua Menteri, Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, perkara itu diserahkan kepada parti berikutan pelantikkan jawatannya itu dibuat oleh pimpinan pusat.

"Saya tidak menyebut perkara itu (jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang) kerana pelantikkan jawatan itu dibuat oleh parti, maka ia perlu dijawab oleh parti.

"Semasa lantikan, Setiausaha Agung DAP ada membuat kenyataan bahawa ini adalah penggal penuh dan tidak ada penukaran pertengahan penggal. Oleh itu, saya serahkan perkara ini kepada parti untuk jawab.

"Parti akan putuskan jika ada apa-apa perubahan. Bagaimanapun, saya masih belum bersara, masih memegang jawatan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dan di cawangan-cawangan lain," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!