Pemilihan DAP: Keputusan Kon Yeow tak jejas pentadbiran Pulau Pinang

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk tidak mempertahankan jawatan beliau sebagai Pengerusi DAP negeri itu tidak memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Malah kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, ia selari dengan peruntukan Perlembagaan Negeri yang mengehadkan jawatan Ketua Menteri selama dua penggal.

"Perlu ditegaskan bahawa keputusan beliau pada hari ini tidak memberi kesan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana Kon Yeow akan terus memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga akhir penggal ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar Anthony, sebelum Kon Yeow membuat keputusan itu, hasrat itu telah disuarakan dalam perbincangan bersamanya.

"Saya menghormati keputusan dan pendirian beliau demi pembaharuan dalam kepimpinan DAP Pulau Pinang setelah beliau menerajui jawatankuasa negeri DAP Pulau Pinang selama 25 tahun," jelasnya.

Kon Yeow membuat pengumuman untuk tidak bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang akan diadakan pada 22 September ini.

Ia bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Jelasnya, beliau telah menerima surat pemberitahuan daripada DAP Pusat berhubung pencalonannya itu pada 27 Ogos lalu namun telah menolaknya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!