KPT tunggu laporan penuh pelajar terlibat kegiatan 'swinger'
IPOH - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menunggu laporan penuh mengenai penglibatan pelajar universiti disyaki terbabit aktiviti persundalan seks bebas dengan bertukar pasangan atau 'swinger' yang dipromosi secara dalam talian.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, maklumat itu diperlukan sebelum kementeriannya mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan.
"Saya perlu mendapatkan laporan terlebih dahulu, saya tidak mahu membuat kenyataan menyapu sampah bawah karpet (selindung).
"Sebarang bentuk aktiviti, gejala apa pun, bukan sahaja melibatkan pelajar atau sesiapa yang menyalahi undang-undang maka tindakan sewajarnya akan diambil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Industri Nexus POLYCC 2024 (INDex POLYCC 2024) di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar di sini, pada Rabu.
Media pada Jumaat melaporkan seramai 36 individu termasuk pelajar universiti dan penjawat awam ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan persundalan seks bebas.
Kesemua individu itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor pada 25 dan 27 Julai lalu.
Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini menawarkan servis langganan secara dalam talian melalui portal yang disyaki diurus masing-masing seorang lelaki warga tempatan dan Singapura.
Pihak polis turut merampas pelbagai barang antaranya peralatan seks, komputer, wang tunai dan setakat ini hasil siasatan melalui akaun keldai yang diwujudkan adalah berjumlah 147,000 pelanggan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!