Kes tipu tuntutan PERKESO, SPRM kesan seorang lagi doktor

Seramai 33 individu ditahan SPRM berhubung kes tersebut dan direman di mahkamah di Pulau Pinang pada Rabu. Gambar kecil: Azam Baki
Seramai 33 individu ditahan SPRM berhubung kes tersebut dan direman di mahkamah di Pulau Pinang pada Rabu. Gambar kecil: Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih giat mengesan seorang lagi doktor bagi membantu siasatan kes pemalsuan tuntutan hilang upaya membabitkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suspek didakwa merupakan rakan subahat daripada tiga doktor kanan yang ditahan suruhanjaya itu di Pulau Pinang pada Selasa.

Beliau berkata, SPRM sebelum ini menahan tiga doktor kanan yang bertugas di hospital kerajaan dan swasta berhubung kes laporan tuntutan salah tersebut.

"Kejayaan ini dicapai menerusi siasatan dan kerjasama SPRM dengan PERKESO berhubung kartel penipuan doktor.

"Kes ini menjadi perhatian orang ramai kerana ia melibatkan kepentingan umum," katanya ketika ditemui dalam sesi wawancara khas bersama media pada Rabu.

Azam berkata, seramai 33 individu ditahan SPRM berhubung kes tersebut dan direman di mahkamah di Pulau Pinang pada Rabu.

Menurut beliau, daripada jumlah 33 yang ditahan itu, tiga adalah doktor, pencarum (19), ejen (8) serta 'runner' (3).

Berhubung kes itu katanya, SPRM pada masa ini menerima 19 kes daripada 19 pencarum yang dipanggil bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, kerugian daripada tuntutan palsu dibuat oleh kumpulan kartel penipuan itu kira-kira RM2.1 juta sejak 2017.

Ditanya sama ada kes seumpama itu akan turut disiasat di negeri-negeri lain, Azam tidak menafikan tindakan susulan akan diambil berhubung kejadian di Pulau Pinang itu.

Beliau berkata, kes seumpama itu secara kebiasaannya akan turut melibatkan negeri-negeri lain.

"Tidak dinafikan, siasatan ini boleh dilakukan di negeri-negeri lain, namun setakat ini ia berlaku di Pulau Pinang," ujarnya.

Namun begitu tegasnya, ia bergantung kepada apa yang diperoleh SPRM daripada siasatan yang dilakukan ke atas suspek ditahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!