JAS siasat aduan bau busuk di Sungai Teritip

Petugas melakukan kerja persampelan terhadap buangan di kawasan tersebut.
Petugas melakukan kerja persampelan terhadap buangan di kawasan tersebut.
A
A
A

PEKAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan siasatan terhadap aduan bau busuk berpunca daripada buangan berminyak dan berbau yang disyaki dibuang terus ke dalam Sungai Teritip, di tepi jalan utama Pekan-Rompin di sini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pekan dalam kenyataannya berkata, siaaatan dijalankan susulan aduan diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pekan, 1 September lalu.

Menurut kenyataan itu, sepasukan pegawai penyiasat JAS bersama Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Bomba telah ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta pengujian in-situ di sekitar tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati bau busuk tersebut berpunca daripada buangan berminyak dan berbau, yang disyaki dibuang terus ke dalam Sungai Teritip.

"Berikutan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah digerakkan untuk mengatur gerak kerja menangani kes pencemaran Sungai Teritip berikutan terdapat penempatan berhampiran dengan lokasi tersebut," jelasnya.

Jawatankuasa itu berkata, persampelan terhadap buangan di kawasan tersebut telah dijalankan dan sampel yang diambil dihantar ke Jabatan Kimia.

Pasukan HAZMAT Bomba turut ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta pengujian in-situ di sekitar tempat kejadian.
Pasukan HAZMAT Bomba turut ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta pengujian in-situ di sekitar tempat kejadian.

"Pihak HAZMAT Bomba juga telah menjalankan pemantauan udara dan gas bagi menentukan tahap keselamatan udara di sekitar kawasan terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemantauan udara di semua lokasi sekitar tempat kejadian termasuk di Sungai Teritip mendapati bacaan udara berada pada paras normal," ujarnya.

Sementara itu katanya, kerja-kerja pembendungan alur air siap dilaksanakan JPS Pekan dengan mengambil kira penilaian arah aliran air Sungai Teritip.

"Ketika ini kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas sedang dalam peringkat tindakan," jelasnya.

Melalui kenyataan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pekan berkata, siasatan kini sedang dijalankan bagi mengesan penjenayah alam sekitar yang terlibat.

"Orang ramai yang melalui Jalan Nenasi terutamanya kawasan Sungai Teritip pada 30 Ogos lalu (Jumaat) sekitar jam 6 petang hingga 8 malam dan mempunyai rakaman kamera papan pemuka kenderaan diminta untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi JAS di talian 09-5730636 atau 019-9151953," katanya.

Dalam perkembangan sama, penduduk dinasihatkan agar memakai pelitup muka dan tidak menangkap ikan di alur air kawasan tersebut.

"Sekiranya ada penduduk yang mengalami gejala gatal-gatal kulit, mata berair, sesak nafas dan loya serta pening kepala, mereka dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nenasi," ujarnya.

Ringkasan berita:

  • JAS Siasat Bau Busuk di Sungai Teritip: Bau busuk di Sungai Teritip disebabkan buangan berminyak.
  • Siasatan: JAS dan HAZMAT Bomba menyiasat setelah menerima aduan pada 1 September.
  • Tindakan: Pemantauan udara normal, pembendungan air, dan pembersihan sedang dilakukan.
  • Siasatan Terus: Pihak berkuasa mencari pelaku, dan orang ramai diminta membantu.
  • Nasihat: Penduduk diminta memakai pelitup muka dan dapatkan rawatan jika bergejala.
Dijana oleh AI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!