Warga emas 31 jari hidup terkurung selepas dituduh ahli sihir
ODISHA – Seorang wanita terpaksa menghabiskan hidupnya berkurung di dalam rumah selepas digelar ahli sihir hanya kerana dilahirkan dengan 31 jari tangan dan kaki.
Wanita tersebut, Kumari Nayak, 63, mengalami penyakit polidaktil yang menyebabkan penghidapnya memiliki jari melebihi manusia normal, lapor Metro.co.uk menurut sumber.
Bagaimanapun, warga emas tersebut yang memiliki 19 jari kaki dan 12 jari tangan tersenarai dalam Guinness World Records sebagai individu memiliki jari paling banyak.
Dalam pada itu, Nayak berasal dari Odisha, India berkata, keadaan dirinya itu menjejaskan kehidupan hariannya sehingga mengambil keputusan untuk berkurung di dalam rumah sepanjang masa.
Menurutnya, dia tidak mempunyai wang untuk menjalani rawatan dan mendakwa jirannya menggelar ahli sihir kerana keadaannya itu.
“Saya dilahirkan dengan kecacatan begini dan saya tidak mampu pergi ke klinik kerana keluarga saya miskin.
“Saya sudah menderita penyakit ini selama 63 tahun. Jiran-jiran percaya saya ahli sihir dan sering menjauhkan diri daripada saya dan tidak pernah mengambil berat tentang saya.
“Akibatnya saya terpaksa berkurung di dalam rumah kerana dilayan teruk oleh orang sekeliling dan saya akan berasa lebih tenang (di dalam rumah) berbanding ketika berada di luar,” katanya.
Sementara itu, salah seorang jirannya yang tidak mahu dikenali berkata, tindakan tersebut dilakukan oleh penduduk kampung kerana mereka amat mempercayai perkara karut dan tahyul.
“Saya tahu bahawa dia mempunyai masalah perubatan dan tiada kaitan dengan apa yang orang lain percaya kepadanya. Saya berasa sangat sedih kerana dia tidak mampu untuk merawat dirinya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!