Risikan PERKESO dedah isu kartel

Mohammed Azman dalam sidang akhbar khas di Menara PERKESO di sini, pada Rabu.
Mohammed Azman dalam sidang akhbar khas di Menara PERKESO di sini, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Keselamatan Pekerja dan Sosial (PERKESO) akan melaksanakan langkah penambahbaikan ke atas prosedur operasi standard (SOP) bagi semua permohonan tuntutan faedah berkaitan agensi itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, langkah berkenaan termasuk meningkatkan pemantauan terutama aspek kelulusan daripada Jemaah Doktor (JD).

"Kita sedia maklum, proses tuntutan PERKESO agak kompleks (kerana) membabitkan banyak pihak termasuk pegawai perubatan profesional, doktor yang menyediakan laporan perubatan dan pegawai PERKESO.

"Jadi kita akan tingkatkan (pemantauan) dari segi maklumat diterima daripada doktor swasta, contoh kes ini (tuntutan palsu) doktor swasta dan jemaah doktor terlibat dalam membuat tuntutan palsu.

"Mungkin diperingkat (kelulusan) jemaah doktor perlu diperbaiki dan dipertingkatkan dari segi pemantauan," katanya dalam sidang akhbar khas di Menara PERKESO di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pihaknya turut menambah baik proses dalaman agensi susulan semua kes tuntutan yang diterima dianggap sahih, kecuali berjaya dibuktikan sebaliknya.

Ini kerana menurutnya, PERKESO tidak mahu melambatkan proses memberi faedah kepada pencarum yang mengalami bencana atau kemalangan.

Sementara itu, mengulas mengenai modus operandi kartel tuntutan palsu, Mohammed Azman berkata, suspek menggunakan kes kemalangan dalam perjalanan yang tidak membabitkan pihak ketiga bagi memudahkan proses tuntutan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka gunakan kes ‘commuting accident’ yang tidak melibatkan pihak ketiga, contohnya terlanggar lubang atau anjing serta jatuh tergelincir yang tidak wujud patah.

"Kemudian doktor kata tangan (pemohon) atau kaki patah, tetapi apabila siasatan dalaman dan sinar X tunjukkan tiada patah. Ini proses (modus operandi kartel) dikesan PERKESO,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan pihaknya akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meneruskan siasatan dan melaksanakan Op Tunjang untuk membanteras kegiatan berkenaan.

"Ada beberapa hospital lain dikenal pasti, namun ia masih dalam siasatan.

"Kita tidak akan berhenti di sini, sebaliknya akan meneruskan siasatan.

"Mungkin ada lagi kes tuntutan palsu bakal dikenal pasti dan tindakan susulan akan diambil untuk kita bekerjasama dengan SPRM,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!