Sindiket bawa masuk warga asing: SPRM buru pegawai imigresen
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat mengesan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membantu siasatan membabitkan sindiket membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai lelaki yang bertugas di KLIA itu dipercayai telah melarikan diri.
Bagaimanapun, kata Azam, pegawai berkenaan masih berada dalam negara.
"Siasatan sedang dijalankan dan kita sedang kesan 46 pegawai berkaitan untuk dipanggil bagi soal siasat.
"Kita perlu merungkai masalah yang berlaku di KLIA. Kita sudah tegur banyak kali sebelum ini, tetapi kes masih berlaku dan sebelum ia menjadi semakin teruk, kami ambil tindakan segera," katanya dalam sesi wawancara khas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Azam turut mengesahkan tindakan sitaan beberapa kenderaan milik pegawai JIM berhubung kes terbabit.
Jelasnya, SPRM juga sedang giat mengenal pasti siapa dalang bagi kegiatan jenayah ini.
"Kita percaya dalang di luar melibatkan suspek warga asing, namun kita sedang cari siapa dalang di sini," ujarnya.
Pada 20 Ogos, menerusi operasi Op Pump di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan, SPRM membongkar sindiket sindiket bawa masuk warga asing melalui 'kaunter khas' tanpa pemeriksaan di pintu masuk negara.
Antara warga asing yang dibawa masuk seperti Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal.
Sindiket berkenaan dipercayai turut didalangi beberapa penguat kuasa sebuah di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut.
Sindiket ini dipercayai telah meraih keuntungan jutaan ringgit dan siasatan SPRM mengesan terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta dari tahun 2022 hingga 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!