Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 20kg dadah
PONTIAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menggagalkan cubaan menyeludup dadah seberat 20 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM700,000 dalam satu operasi di kawasan perairan Parit Raja di sini awal pagi Rabu.
Menurut Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kapten Kama Azri bin Kamil, rampasan dadah tersebut dilakukan oleh pihaknya selepas mengesan sebuah bot kayu yang mencurigakan di kawasan perairan Parit Raja.
"Sewaktu pengesanan dilakukan, bot ronda Maritim Malaysia mendapati terdapat tiga individu berada di atas bot kayu tersebut dalam keadaan mencurigakan.
"Mereka bertindak melarikan diri menuju ke kawasan paya bakau dan meninggalkan bot kayu tersebut.
"Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan sebuah beg berwarna biru gelap berisi 20 bungkusan teh Cina dipercayai mengandungi dadah jenis syabu dipercayai untuk kegunaan seramai 100,000 penagih," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu.
Kesemua bungkusan dadah dan bot kayu tersebut dirampas dan enjin disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Secara keseluruhannya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot kayu tanpa pendaftaran serta enjin dianggarkan bernilai lebih RM700,000.
Dadah tersebut dipercayai untuk dibawa keluar dari Malaysia.
Dalam pada itu beliau berkata, Maritim Negeri Johor akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan terutama di lokasi titik panas di perairan ini bagi mengekang sebarang penyeludupan barang terlarang terutama sekali dadah berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!