KPM giat perluas sekolah K9 seluruh negara
Menurutnya, konsep sekolah itu bertujuan menangani isu keciciran murid dan pelajar, khususnya anak-anak Orang Asli dan peribumi di Sabah dan Sarawak kerana jarak dari kampung mereka ke sekolah lazimnya amat jauh sehinggakan ada yang perlu menaiki bot lebih sejam untuk ke sekolah.
"Inilah cabaran yang kita ada apabila kita berbincang berkenaan akses pendidikan di kawasan pedalaman. Pada 2025, kami (KPM) jangka ada banyak lagi sekolah akan dinaik taraf, dijadikan sebagai sekolah K9.
"Berkenaan dengan sekolah mana, pihak kami akan buat pengumuman selepas pemantauan siap atau keputusan akhir dibuat oleh pengurusan tertinggi KPM," katanya kepada pemberita selepas program lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun di sini hari ini.
Sekolah K9 adalah inisiatif strategik KPM yang menyediakan peluang pendidikan bermula dari prasekolah hingga Tingkatan 3 dalam sekolah yang sama.
Sementara itu, beliau berkata, sekolah K9 hanya menggunakan bangunan sedia ada, namun memerlukan blok bangunan baharu apabila jumlah murid bertambah hingga melebihi kapasiti.
Kah Woh berkata, sebagai contoh di SK RPS Banun, terdapat beberapa blok bangunan baharu yang telah siap dan diserahkan pada tahun lepas, termasuk blok untuk dewan makan, pembelajaran dan pentadbiran.
"Untuk bangunan tambahan baharu bagi sekolah K9 yang sedang giat dilaksanakan sekarang adalah di SK Menanam dan SK Buis di Telupid, Sabah serta SK Pulau Redang di Terengganu," katanya.
Berkenaan program lawatan kerja beliau hari ini, Kah Woh berkata, pihaknya menyalurkan RM20,000 kepada SK RPS Banun bagi tujuan penyelenggaraan kecil.
"Pada tahun ini, setiap satu sekolah kerajaan telahpun diberikan RM38,000 oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak bertujuan penyelenggaraan kecil fasiliti sekolah, SK RPS Banun merupakan satu daripada sebuah sekolah kerajaan," katanya.
SK RPS Banun diasaskan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada 1979 sebelum diambil alih oleh KPM pada 1993 dan kemudian diperluas kepada sekolah K9 dengan menyediakan peluang pendidikan dari peringkat prasekolah hingga Tingkatan Tiga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!