Penjawat awam salah guna kuasa, dapat kerja pembekalan untuk suami
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penjawat awam wanita disyaki menyalahguna jawatannya untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan.
Sumber berkata, ia melibatkan pembekalan barang-barang keperluan logistik sekolah daripada syarikat milik suaminya berjumlah RM270,000.
Kata sumber, perintah reman selama tujuh hari sehingga Selasa dikenakan ke atas suspek yang berusia lingkungan 40-an.
"Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
"Suspek ditahan sekitar jam 7 malam pada Selasa ketika hadir bagi memberi keterangan di ibu pejabat SPRM," katanya pada Rabu.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2021 hingga 2022.
Menurutnya, suspek yang bertugas di sebuah sekolah di sekitar Lembah Klang dipercayai telah menggunakan jawatannya bagi membantu mendapatkan kerja-kerja pembekalan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!