Remaja istimewa mampu hasilkan video dengan 'Goanimate'
KOTA KINABALU - Mampu menarik lebih daripada dua juta penonton di YouTube yang menggunakan kartun 'Goanimate' menjadi pendorong kepada remaja istimewa, Mohd Affendy Wahid menghasilkan video kartun untuk tatapan peminatnya.
Mohd Affendy, 16, yang menghidap autisme bukan sahaja peminat kepada watak 'Caillou' dalam drama kartun itu tetapi juga menghasilkan video berdasarkan watak kartun berkenaan dalam setiap hasil karyanya.
Anak ketiga daripada empat beradik itu mula aktif menghasilkan video sejak 2018 dan sehingga kini mempunyai lebih daripada 25,000 'subscribers' di saluran YouTube miliknya yang dikenali sebagai 'CyanAnimate'.
Menurut ibunya, Nuraini Abdullah, 44, dia hanya menyedari kebolehan Mohd Affendy itu pada November tahun lepas apabila adik perempuannya berkunjung ke rumah mereka untuk bercuti.
Katanya, ketika itu adik bongsunya itu melihat saluran YouTube anaknya dan melihat lebih 500 video telah dihasilkan, malah ada video yang mencecah 800,000 hingga dua juta tontonan.
"Kami tahu dia (Mohd Affendy) ada akaun YouTube yang pertama pada tahun 2018 tetapi disebabkan ada beberapa masalah teknikal menyebabkan akaun itu tidak lagi aktif.
"Akaun yang baharu ini tidak pasti bila dia buat tetapi dia memang sentiasa berada di depan komputer selepas balik dari sekolah," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Nuraini berkata, melalui YouTube itu juga, anaknya belajar dan fasih berbahasa Inggeris meskipun bahasa pertuturan mereka seharian menggunakan bahasa Melayu.
Mesra dengan panggilan adik, Mohd Wahid merupakan pelajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Kolombong, Inanam.
Antara video yang mendapat tontonan paling tinggi iaitu mencecah lebih dua juta ialah video bertajuk 'Little Bill pokes Cody's eye and gets grounded big time' yang berdurasi 2 minit 52 saat dan video 'Caillou pokes little Bill's eye and gets ungrounded' mendapat sejuta tontonan berdurasi 3 minit 31 saat.
Sementara itu ayahnya, Wahid Mohd Sejili, 46, yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, dalam sehari anaknya itu mampu menghasilkan tiga video dan satu video memakan masa kira-kira setengah jam, bagaimanapun bergantung kepada 'mood' anaknya itu.
Dia yang kini menjalankan perniagaan sendiri berkata, anaknya tidak pernah mengikuti mana-mana kursus, hanya belajar melalui YouTube.
Katanya, sebelum ini Mohd Affendy sukar untuk berkongsi minat dalam menghasilkan video itu, bagaimanapun mereka amat merasa lega kerana anaknya kini lebih terbuka dan mereka dapat memantau aktivitinya.
"Sebelum ini ada juga individu yang menawarkan diri untuk menjadi pengurus dia tetapi lebih baik kami yang memantau apa yang dia muat naik di YouTube," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!