Kapal pasir warga asing berlabuh tanpa kebenaran ditahan
PELABUHAN KLANG - Tindakan sebuah kapal pasir dikendalikan warga asing dipercayai berlabuh tanpa kebenaran mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, dekat Sungai Kembung, pada Rabu.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal terbabit ditahan pada jam 2.18 pagi.
"Pusat Operasi Maritim Malaysia Selangor menerima aduan awam berkenaan kapal pasir itu yang bersauh di kedudukan penahanan sejak beberapa hari lalu.
"Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Ehsan dan Op Tiris kemudiannya diatur gerak untuk membuat pemeriksaan ke atas kapal pasir berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pemeriksaan mendapati, kapal berkenaan dikendalikan nakhoda serta kru warga asing.
"Antara diperiksa melibatkan nakhoda bersama seorang kru warga Indonesia serta enam kru warga China.
"Pemeriksaan lanjut turut mendapati, kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk bersauh," katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan NG 999 untuk maklum balas segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!