Dua lagi Baitul Mahabbah bakal di buka

Saifuddin Nasution ditemui pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah di Depot Imigresen Tanah Merah hari ini. Foto Bernama
Saifuddin Nasution ditemui pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah di Depot Imigresen Tanah Merah hari ini. Foto Bernama
A
A
A
TANAH MERAH - Kerajaan akan membuka dua lagi pusat jagaan Baitul Mahabbah yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) khusus untuk kanak-kanak warga asing berumur di bawah 10 tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua lagi pusat itu ialah di Kedah dan Johor.

"Setakat ini, kita ada empat Baitul Mahabbah iaitu di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah; Miri, Sarawak dan terbaharu di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan.

"Secara keseluruhan kita memiliki seramai 340 kanak-kanak bersama penjaga yang ditempatkan di empat Baitul Mahabbah dan 84 sudah dihantar pulang sejak pembukaan pusat ini pada September tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah Tanah Merah di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, penempatan di pusat jagaan itu bersifat sementara dan pengurusan depot telah berhubung dengan pihak kedutaan selain menunggu respons berkaitan dokumen perjalanan sebelum mereka dihantar pulang.

"Pengoperasian merangkumi penyelarasan aktiviti penjagaan dan pembelajaran, khidmat runding cara, merangka aktiviti harian, mengawasi kanak-kanak serta perancangan pelaksanaan pemantuan program yang bermanfaat kepada mereka seperti membaca, melukis atau menyanyi," katanya.

Beliau berkata faktor pemilihan lokasi Baitul Mahabbah di Tanah Merah adalah kerana persekitaran yang kondusif dan berdekatan dengan kemudahan seperti hospital, balai polis serta balai bomba.
Artikel Berkaitan:


"Antara kemudahan yang disediakan bilik tidur, tandas, ruang kawalan pegawai, stor penyimpanan barang serta taman permainan kanak-kanak.

"Pusat ini menempatkan seramai 27 orang iaitu 10 kanak-kanak lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan dan 10 penjaga perempuan yang terdiri warga Kemboja, Indonesia, Myanmar, Afghanistan dan Bangladesh," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!