Taktik sindiket e-waste isytihar barang sebagai besi sekerap terbongkar

Mohd Yusoff menunjukkan gambar barangan e-waste yang dirampas.
Mohd Yusoff menunjukkan gambar barangan e-waste yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik sindiket e-waste mengisytiharkan barang sebagai besi sekerap terbongkar selepas tujuh kilang haram di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang diserbu polis pada Isnin.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya menahan lima warga tempatan dan 31 warga asing berusia 25 hingga 60 tahun dalam serbuan itu.

"Warga tempatan itu dipercayai berperanan sebagai penyelaras serta koordinator yang mengambil untung atas aktiviti yang dijalankan dengan nilai jutaan ringgit.

"Warga asing yang ditahan pula berperanan membawa teknologi dan bahan kimia dari luar negara untuk aktiviti pemprosesan e-waste," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman pada Rabu.

Antara barang e-waste yang dirampas
Antara barang e-waste yang dirampas

Mohd Yusoff berkata, operasi bersepadu itu julung kali diadakan oleh Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) hasil risikan sejak April lalu.

"Kita turut menemui sejumlah bahan-bahan elektrik kitar semula yang dikategorikan sebagai e-waste sedang diproses untuk mendapatkan logam berharga seperti tembaga, besi, timah dan peralatan lain," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan risikan mendapati jaringan pemprosesan e-waste secara haram itu membawa masuk barangan yang didaftarkan sebagai besi sekerap, namun barangan sebenar adalah sisa e-waste.

Artikel Berkaitan:

"Secara kebiasaan premis kilang haram pelupusan barangan e-waste akan wujud di lokasi berhampiran sesebuah pelabuhan besar dan dalam kes ini aktiviti rangkaian ini membawa masuk barang-barang melalui Pelabuhan Klang," katanya.

Mengulas lanjut Mohd Yusoff berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan dan mesin yang dianggarkan lebih RM97 juta.

"Barang dan mesin yang dirampas antaranya 19,203 guni barang kitar semula, 23 buah forklift, 71 buah mesin pelbagai jenis, 630 guni berisi logam (tembaga, besi, aluminum, timah) serta barang elektronik.

"Selain itu, kita turut merampas 600 tan barangan yang belum dan sudah diproses, 934 guni pelbagai serbuk, pelbagai jenis tembaga seberat 765,000 kilogram (kg) dan aluminum seberat 16,000 kg," katanya.

Beliau berkata, tindakan lanjut dilaksanakan oleh JAS dan MBDK dengan mengeluarkan notis penutupan dan menyita peralatan di dalam kilang tersebut.

"Kesemua tangkapan dan rampasan berkaitan Akta Imigresen 1959/63 telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!