Northport pecah rekod kendalian kontena dua bulan berturut-turut

Sejak Januari hingga Ogos 2024, Northport menerima sejumlah 171 singgahan kapal adhoc dan merekodkan sejumlah 13 perkhidmatan perkapalan baharu di pelabuhannya.
Sejak Januari hingga Ogos 2024, Northport menerima sejumlah 171 singgahan kapal adhoc dan merekodkan sejumlah 13 perkhidmatan perkapalan baharu di pelabuhannya.
A
A
A

NORTHPORT (Malaysia) Bhd (Northport) yang juga ahli Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) mencatatkan kendalian kontena bulanan tertinggi syarikat iaitu 365,558 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) pada Ogos 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, ia merupakan satu lagi pencapaian pecah rekod bulanan kendalian kontena dan kargo konvensional syarikat yang mengatasi prestasi sebelum ini sebanyak 354,548 TEU.

"Syarikat juga memecahkan rekod bulanan kargo konvensionalnya dengan pengendalian 1,145,021 FWT (Freight Weight Tonnes), mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,143,318 FWT yang juga dicatatkan pada Julai 2024.

"Prestasi pecah rekod kami yang konsisten bulan demi bulan adalah gambaran jelas tentang pengembangan kapasiti dan peningkatan kecekapan dalam menguruskan kendalian kargo yang semakin meningkat.

"Pencapaian ini menyerlahkan daya tahan dan keupayaan kami dalam bertindak balas kepada cabaran global serta perubahan perdagangan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, menerusi peningkatan infrastruktur dan perkhidmatan secara berterusan berjaya mengukuhkan peranan Northport sebagai pintu masuk penting untuk perkapalan global yang mampu memenuhi keperluan pelanggan dalam pasaran dinamik.

Azman Shah.
Azman Shah.

Ujar Azman Shah, prestasi pecah rekod berganda yang dicatat Northport pada Ogos 2024 terhasil daripada beberapa faktor termasuk peningkatan ketara dalam ketibaan kapal ad-hoc.

Artikel Berkaitan:

"Sejak Januari hingga Ogos 2024, Northport menerima sejumlah 171 singgahan kapal adhoc. Selain peningkatan dalam persinggahan kapal ad-hoc, Northport turut berjaya menarik beberapa perkhidmatan perkapalan baharu ke terminalnya.

"Laluan perkhidmatan baharu ini meluaskan rangkaian Northport dan membolehkan kendalian lebih besar melalui pelabuhan itu. Dalam jangka masa tersebut, Northport merekodkan 13 perkhidmatan perkapalan baharu di pelabuhannya.

Pada Ogos 2024, Northport mengendalikan sejumlah 1,145,021 FWT kargo konvensional, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,143,318 FWT yang dicatatkan pada Julai 2024.
Pada Ogos 2024, Northport mengendalikan sejumlah 1,145,021 FWT kargo konvensional, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,143,318 FWT yang dicatatkan pada Julai 2024.

"Faktor luaran ini dipacu oleh komitmen Northport terhadap kecemerlangan operasi yang dizahirkan melalui pelaburan dalam penambahbaikan infrastruktur dan proses operasi secara berterusan," jelasnya.

Mengulas lanjut, Azman Shah berkata, lapangan kontena baharu, Blok K telah beroperasi secara separa dan menyumbang kepada kendalian kontena lebih tinggi pada Ogos.

Ujarnya, lapangan kontena berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada September 2024.

“Faktor yang lebih utama adalah komitmen jitu kakitangan dalam mengejar kecemerlangan tanpa henti dengan memainkan peranan penting dalam memacu prestasi pecah rekod ini.

"Pencapaian terbaharu meletakkan Northport pada trajektori yang kukuh untuk berpotensi mengatasi rekod pengendalian kontena dan kargo konvensional tahunan tertinggi menjelang akhir tahun ini.

"Kami berharap prestasi rekod berkenaan akan membantu usaha kami dalam memastikan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia pada 2024," tambah beliau.

Dalam pada itu, ujar Azman Shah, selain usaha untuk terus mencatatkan prestasi pecah rekod, tumpuan syarikat kekal kepada pertumbuhan yang mampan dan bukan sahaja mengikuti arah aliran global.

"Kami menetapkan penanda aras baharu dalam kecekapan operasi dan kecemerlangan perkhidmatan.

"Pelaburan strategik dalam infrastruktur dan teknologi dibuat bagi memastikan kami bukan sahaja memenuhi, tetapi melebihi jangkaan pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan untuk meletakkan Northport sebagai pelabuhan gerbang pilihan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang melakukan lawatan ke Northport pada Khamis berkata, Pelabuhan Klang yang terdiri daripada Northport dan Westports kini berada di kedudukan ke-11 dalam 100 pelabuhan global terbaik untuk 2023 dalam laporan Lloyd's List, meningkat dari tangga ke-13 pada 2022.

Ujarnya, Pelabuhan Klang berada di landasan yang betul untuk berada di kedudukan antara 10 pelabuhan kontena tersibuk di dunia pada 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!