Penyerang Myanmar 'senjata' terbaharu KDN FC

Aung Kaung Mann menjadi 'senjata' terbaru KDN FC untuk menghadapi baki saingan Liga-M musim ini. Foto: FB Aung Kaung Mann
Aung Kaung Mann menjadi 'senjata' terbaru KDN FC untuk menghadapi baki saingan Liga-M musim ini. Foto: FB Aung Kaung Mann
A
A
A
PENYERANG import dari Myanmar, Aung Kaung Mann, 26, menjadi 'senjata' terbaru Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, pemain itu direkrut masuk oleh pasukan pada pintu perpindahan kedua saingan Liga-M 2024/2025 bagi menggantikan dua pemain import sebelum ini iaitu Muzungu dan Valdumar Augusto.

"Beliau (Aung Kaung Mann) menandatangani kontrak sehingga Mei 2025 selepas bersetuju dengan terma serta syarat peribadi daripada KDN FC.

"Musim lalu Aung membantu Nakhonratchasima Mazda FC muncul juara Liga Thailand 2, namun memilih keluar sebaik musim berakhir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rozi berkata, karier pemain itu bermula pada 2018 selepas mendapat kontrak senior ke pasukan utama Ayeyawady FC dan berhijrah ke Thailand dengan memenangi kejuaraan Liga Thailand 3 pada 2020 bersama Khon Khaet FC sebelum menyertai beberapa pasukan lain termasuk Kelab Divisyen 1, Chonburi FC pada musim 2022/23.

"Aung mendapat panggilan menyertai skuad Myanmar pada usia 20 tahun dan mengumpul 37 penampilan selain turut menjaring 18 gol buat negaranya.

"Beliau juga memenangi gelaran naib juara Sukan SEA 2015 dan ketiga pada edisi 2019.

"Perpindahan Aung menjadi sasaran utama pada pintu perpindahan kedua, malah beliau ialah penyerang tulen yang mempunyai rekod baik di peringkat kelab serta antarabangsa," katanya.

Pengalaman dan semangat pemain itu menjadi kunci utama KDN FC untuk menajamkan jentera serangan pasukan.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata mereka teruja untuk melihat sejauh mana impak positif yang akan dilakukan di atas padang dan di bilik persalinan sekali gus berusaha memperbaiki kelemahan dan cuba meraih kejayaan pada baki perlawanan Liga Super musim ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!