Taman Tasik Shah Alam Seksyen 7 ditutup sementara

Kawasan sekitar Taman Tasik Shah Alam di Seksyen 7 ditutup sementara mulai malam ini.
Kawasan sekitar Taman Tasik Shah Alam di Seksyen 7 ditutup sementara mulai malam ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kawasan sekitar Taman Tasik Shah Alam di Seksyen 7 di sini, ditutup sementara mulai malam ini bagi memberi laluan kepada operasi menangkap buaya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan sementara itu bermula jam 8 malam hingga 7 pagi dan akan dilaksanakan sehingga reptilia itu ditangkap.

Menurut kenyataan itu, ia membabitkan aktiviti rekreasi di sekitar tasik seperti berjoging dan aktiviti memancing juga dilarang sama sekali sehingga operasi menangkap buaya selesai.

"Langkah ini diambil bagi memastikan keadaan sekeliling lebih sunyi ketika operasi, selain memastikan keselamatan orang awam di kawasan berkenaan.

Perhilitan Selangor memasang dua perangkap di Taman Tasik Shah Alam di Seksyen 7.
Perhilitan Selangor memasang dua perangkap di Taman Tasik Shah Alam di Seksyen 7.

"Gerai makanan masih lagi dibenarkan beroperasi seperti biasa dan perlu ditamatkan pada 7 malam," menurut kenyataan itu pada Rabu.

MBSA turut menasihatkan pengunjung supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di kawasan tasik sehingga operasi selesai dijalankan.

Terdahulu, Perhilitan Selangor memasang dua perangkap dengan berat kira-kira 200 kilogram (kg) bagi setiap perangkap bagi menangkap buaya tembaga di tasik terletak di Seksyen 7 tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, dua perangkap yang dipasang diyakini berupaya untuk menangkap reptilia tersebut dan salah satunya dipinjam daripada Perhilitan Negeri Sembilan.

Ujarnya, kakitangan Perhilitan juga membuat rondaan setiap hari untuk memantau perangkap dan umpan ayam yang dipasang manakala pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membantu memasang jaring di lima saluran air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!