'Kenyataan itu tidak tepat'

Zulkifli Yaacob
Zulkifli Yaacob
A
A
A

KUANTAN - Kenyataan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkenaan Projek Tanaman Semula Komersial (TSK) Orang Asli yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok didakwa tidak tepat dan berbaur hasutan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, kenyataan itu tidak wajar bagi seorang penjawat awam kerana boleh memberi kesan buruk kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, perbuatan itu juga dilihat menyalahi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Menjelaskan perkara itu, Zulkifli berkata, kerajaan negeri telah menerima pemakluman daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkenaan pemberhentian operasi pengurusan TSK Orang Asli di negeri ini melalui surat bertarikh 8 Februari lalu.

"Kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) memutuskan bahawa projek TSK Orang Asli akan diuruskan anak syarikat kerajaan negeri, Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) melalui kaedah memungut hasil tanaman.

"Kelulusan tersebut merupakan penyelesaian bagi mengelakkan ketirisan hasil kerajaan negeri dan menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli yang terlibat di kawasan tersebut," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Zulkifi berkata, susulan itu, ORACO dilantik sebagai agensi pengurus bagi melaksana 59 projek TSK Orang Asli di seluruh negeri melibatkan tanah milik kerajaan negeri.

"Ketua Pengarah JAKOA dan Pengarah JAKOA Negeri Pahang yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah ORACO terlibat dalam membuat keputusan.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, pihak JAKOA secara jelas mempunyai pengetahuan berkaitan dengan pelantikan ORACO sebagai agensi pengurus bagi projek TSK itu," ujarnya.

Tambah beliau, beberapa sesi libat urus, penerangan dan lawatan ke 59 tapak projek TSK Orang Asli turut dihadiri pegawai-pegawai daripada JAKOA Negeri Pahang.

Menurutnya lagi, pengambilalihan projek itu dilaksanakan bagi menjamin kebajikan masyarakat Orang Asli dan merangsang pendapatan stabil yang berterusan.

"ORACO telah mengambil beberapa langkah susulan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek ini agar masyarakat Orang Asli dapat menikmati pulangan ekonomi dengan cepat.

"Kerajaan negeri sentiasa komited untuk menjadi sebuah negeri yang sentiasa cakna dalam menjaga kebajikan dan ekonomi masyarakat Orang Asli agar golongan ini dapat dibantu bagi meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Jelas beliau lagi, sebanyak RM13 juta telah diperuntukkan tahun ini untuk pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP), Projek Baikpulih Rumah, pemberian komputer riba kepada pelajar Orang Asli yang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT), Insentif Perkahwinan Pertama Orang Asli dan sebagainya.

Sebelum ini, Johari melalui video TikTok berdurasi 5 minit 58 saat melontarkan komen mengulas berkait satu video tular tentang penahanan sekumpulan individu masyarakat Orang Asli yang didakwa masuk untuk mengutip hasil sawit diusahakan.

Pada awal video itu, Johari menjelaskan pihak terlibat adalah sah dan dilantik oleh sebuah syarikat untuk memungut hasil sawit di situ.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan tindakan pihak itu yang didakwa 'langgar' masuk tanpa bertemu dan memaklumkan kepada pemimpin setempat.

Selain itu, Johari turut menyatakan hasrat untuk menarik diri sebagai Ahli Lembaga Pengarah ORACO kerana tidak berpuas hati terhadap beberapa perkara dalam pelaksanaan Projek TSK Orang Asli itu selepas diambil alih agensi tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!