Luar biasa tadbir negara, UMNO dan BN perlukan Ismail Sabri - Hassan Karim

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang ahli Parlimen PKR menyifatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pemimpin baik yang diperlukan UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, sebagai Perdana Menteri kesembilan, beliau telah membuat dua pindaan Perlembagaan Persekutuan iaitu pindaan Perkara 1(2) mengenai status wilayah Sabah dan Sarawak dan Perkara 49(A) berkaitan Akta Anti Lompat Parti.

Malah katanya, bukan itu sahaja, ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri dari 21 Ogos 2021 hingga 23 November 2022, banyak pencapaian telah dilakukan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya.

"Bagi saya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri luar biasa kerana anak kelahiran Temerloh di Kampung Lubuk Kawah, Pahang ini dibesarkan dalam suasana sejarah perjuangan bangsa dan tanah air.

"Penglibatan Sabri, (nama panggilan saya kepadanya) dalam politik bermula sebagai ahli dan Pemuda UMNO di Pahang di bawah kepimpinan Sabarudin Chik, Ketua UMNO Temerloh yang juga mantan Menteri Kerajaan Persekutuan dan Setiausaha Agung UMNO.

Hassan
Hassan

"Saya pernah cuba mengajak Sabri menjadi anggota Partai Rakyat (PRM), tetapi dengan hormat Sabri menolak. Hatinya telah terpikat kepada UMNO. Inilah perjalanan hidup. Jika beliau menjadi anggota Partai Rakyat mungkin Sabri tidak menjadi Perdana Menteri Malaysia kesembilan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Hassan, di zaman kepimpinan Sabri, suasana politik Malaysia tenteram.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, di bawah kepimpinan Sabri dengan dibantu de facto Menteri Undang-Undang Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (sekarang Gabenor Sarawak) maka pindaan-pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dapat dilakukan dalam suasana aman damai tanpa kekecohan dan hiruk-pikuk.

"Semasa Sabri menjadi Perdana Menteri juga sistem kehakiman berjalan bebas dan penuh berwibawa. Tiada tokoh-tokoh besar politik yang diberi hadiah pelepasan secara DNAA (melepas tanpa membebaskan)," katanya.

Sementara itu, Hassan berkata, ketika Sabri sebagai Perdana Menteri berdiri berucap di blok kerajaan di Parlimen, saya sebagai ahli Parlimen pembangkang duduk memandang Perdana Menteri kesembilan itu dengan rasa penuh bangga dan syukur.

"Walaupun kami berbeza parti politik tetapi saya berbangga kerana Ismail Sabri itu adalah merupakan bekas pelajar saya ketika saya menjadi guru dan pengetua di sebuah Kolej di Kuala Lumpur dan mala, isterinya Muhaini yang saya panggil Nani juga murid saya.

"Semoga Sabri terus memimpin. Saya bukan berkempen tetapi saya rasa UMNO dan BN memerlukan pemimpin baik sepertinya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!